Sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih akan menjalankan operasi vaksinasi jumpa terus atau “walk-in” tanpa janji temu bagi penduduk di Lembah Klang bermula 2 Ogos ini.- Gambar hiasan.

KAJANG – Tiada pemberian suntikan vaksin diberikan kepada warga asing yang tidak mempunyai temu janji melalui aplikasi MySejahtera atau SELangkah.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Balakong, Wong Siew Ki berkata, beliau telah meminta semua warga asing yang datang ke  Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Saujana Impian, di sini, pada pagi tadi supaya pulang.

Menurut Siew Ki, kuota pemberian vaksin di PPV tersebut dikhaskan untuk penerima bagi program Selvax Komuniti dan bukannya Selvax Industri.

Namun katanya, kebanyakan warga asing yang datang ke PPV tersebut adalah daripada kalangan pekerja di beberapa kilang yang berhampiran.

“Jadi bagi pekerja-pekerja kilang, kita ada program lain, iaitu Program Selvax (Vaksin Selangor) Industri dan Pikas daripada kerajaan persekutuan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun, tambah beliau pemberian vaksin akan diberikan kepada warga asing yang bekerja dalam komuniti di lokaliti tersebut atau mereka yang telah mendapat temu janji penerimaan vaksin melalui SELangkah dan MySejahtera.

Sementara itu, ADUN Balakong itu turut membantu menyelia pergerakan penerima vaksin di PPV Dewan Sri Cempaka untuk hari ini dalam program Selvax Komuniti.

Untuk rekod, program yang diumumkan kerajaan Negeri Selangor pada 9 Jun lalu itu melibatkan pemberian secara percuma dua juta dos vaksin kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi Selvax Industri.

Manakala Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat Selangor yang masih belum divaksin, membabitkan 500,000 dos. – MalaysiaGazette