KUALA LUMPUR – Laporan polis ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah di Balai Polis Dang Wangi di sini petang ini.
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia membuat laporan itu pada pukul 4.41 petang ini mahu kedua-duanya disiasat kerana secara jelas mengelirukan Dewan Rakyat pada hari pertama persidangan Parlimen 26 Julai lalu.
Menurut beliau, laporan itu dibuat kerana Takiyuddin selaku menteri dan Idrus selaku Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan bercanggah berkenaan Ordinan Darurat.
“Hari ini, saya telah menerima dan membaca satu tangkapan skrin kenyataan media rasmi dari laman Facebook Istana Negara berkenaan kenyataan Yang di-Pertuan Agong terhadap Takiyuddin selaku Menteri dan Peguam Negara, Idrus.
“Baginda menyatakan dukacita atas tindakan yang memudaratkan demokrasi berparlimen dengan secara jelas membuat kenyataan yang tidak tepat, bercanggah dan mengelirukan Dewan Rakyat dan rakyat Malaysia dengan perkara yang telah dibentang dan diperkenankan oleh baginda berkenaan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Kata Nasrul Ali, tindakan tidak berperlembagaan itu dilihat menghina Yang di-Pertuan Agong, Institusi Raja-Raja Melayu dan kemuliaan Parlimen Malaysia, ahli Kabinet dan Ahli Parlimen tidak ada kekebalan menghina atau mempermainkan nama baik baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu atau dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara sekali pun.
Justeru, kata Nasrul Ali Hasan, Wira Putra meminta polis menjalankan siasatan ke atas Takiyuddin dan Idrus serta mana-0mana pihak yang terlibat dalam hal berkenaan.
“Sekiranya benar, satu tindakan tegas perlu diambil ke atas menteri dan Peguam Negara dan lain-lain yang terlibat,” katanya.- MalaysiaGazette