senior citizens Covid-19 vaccine Minister of Women, Family and Community Development Datuk Seri Rina Mohd Harun speaks to the media after visiting homeless army veteran, Suria Mohamad Hassan and his family who used to live under a bridge at Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 19 JUNE 2021
Rina Mohd. Harun. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 19 JUNE 2021

KUALA LUMPUR – Wanita Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa menjunjung institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya yakin prinsip inilah yang menjadi pedoman kepada kerajaan yang tidak sekali-kali akan menderhaka kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dalam kerangka Perlembagaan Negara.

Justeru jelas beliau, Wanita PN menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua kerajaan yang memerintah.

“Pada hemat kami, Perdana Menteri telah memimpin negara dengan sehabis baik dalam suasana yang sangat mencabar ekoran pandemik Covid19 yang berskala global.

“Atas sifat taat dan setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jugalah Perdana Menteri telah menzahirkan titah Seri Paduka Baginda agar diadakan Sidang Khas Parlimen yang sedang berlansung sekarang ini.

“Segala urusan telah diatur mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang niat untuk menyalahinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rina menambah, Wanita PN menyeru semua pihak agar bersama-sama dengan Perdana Menteri dan kerajaan untuk kembali fokus kepada agenda utama dan paling mendesak iaitu memerangi pandemik.

“Wanita Perikatan Nasional menjunjung kasih di atas titah kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada 29 Julai 2021.

“Khasnya, kami amat menghargai keprihatinan Yang di-Pertuan Agong terhadap kemaslahatan rakyat dan titah Baginda agar semua pihak bersama-sama berusaha mencari jalan penyelesaiannya,” katanya. – MalaysiaGazette