Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media hari pertama beliau selepas menyandang jawatan sebagai Menteri Luar Negeri di Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 11 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 59 premis termasuk kilang dan premis perniagaan diarahkan tutup serta-merta kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelanggaran SOP itu dikesan selepas Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 79,940 pemeriksaan dan snap check Covid-19 yang melibatkan 18,953 anggota di seluruh negara.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,761 kilang, 13,064 premis perniagaan, 448 tapak pembinaan dan 258 asrama penempatan pekerja.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 59 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa turut menahan 235 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 207 individu dikompaun, manakala 28 lagi direman.

Sementara itu, Operasi BENTENG (Op BENTENG) semalam telah menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas lima kenderaan darat dalam operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Op BENTENG melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 890 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette