Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Ringgit dijangka kekal diniagakan pada paras semasa minggu depan dalam persekitaran sentimen pasaran bercampur-campur, termasuk kemungkinan dipengaruhi oleh perkembangan politik serta kebimbangan berkaitan kes penularan Covid-19, kata seorang penganalisis.

Berikutan itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim menjangkakan ringgit  diniagakan pada paras melebihi 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

“Para pelabur akan terus menumpukan perkembangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada minggu depan selain kes harian Covid-19, terutama membabitkan varian Delta,” katanya kepada Bernama.

Malaysia mencatatkan sebanyak 16,840 kes harian Covid-19 pada Jumaat iaitu penurunan kecil selepas merekodkan lebih 17,000 kes harian untuk dua hari berturut-turut dan menjadikan kes kumulatif kepada 1,095,486.

Sejak seminggu lepas, Institut Penyelidikan Perubatan telah mengenal pasti 10 kes membabitkan varian Delta yang lebih mudah tersebar.

Dalam pada itu, bagi asas mingguan, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.2190/2220 daripada paras 4.2255/2275 pada minggu lepas.

Ringgit bagaimanapun diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1189/1216 daripada 3.1070/1089 pada minggu sebelumnya dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.8935/8977 daripada 5.8054/8082, sebelum ini,

Unit tempatan juga susut berbanding euro kepada 5.0181/0216 daripada 4.9726/9749 pada minggu sebelumnya dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8502/8529 daripada 3.8254/8275, sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast