Shazni Munir Mohd Ithnin
Shazni Munir Ithnin

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Shazni Munir Ithnin dilaporkan telah ditidurkan dan keadaannya agak kritikal akibat dijangkiti virus Covid-19 pada 20 Julai lalu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang berkongsi keadaan sahabatnya itu menerusi Twitter berkata, Shazni Munir kini mengalami jangkitan tahap lima.

“Sama-sama kita doakan sahabat saya, Shazni Munir yang dilaporkan agak kritikal akibat positif Covid-19 sebelum ini, dilaporkan telah ditidurkan kerana jangkitan tahap lima.

“Mari kita doakan memohon kesembuhan beliau. Ya Allah, Kau lindungilah beliau, berikan kesembuhan kepada beliau, berikan kekuatan kepada beliau,” katanya.

Pada 20 Julai lalu, Shazni Munir menerusi Twitternya mengesahkan beliau dijangkit Covid-19 selepas mengalami demam.

“Setelah demam panas dan sakit yang amat sangat di kepala dan seluruh anggota badan, dengan penuh dukacita saya disahkan positif Covid-19,” ciap beliau.

Namun, pada 24 Julai, beliau dilaporkan dalam keadaan kritikal tahap empat dan agak lemah.

Status beliau ketika itu di tahap empat dan menjelang semalam, doktor mengesahkan pemimpin muda Amanah itu dalam tahap lima dan ditidurkan.

Selain Shazni Munir, isteri dan anak-anak beliau juga disahkan positif dan sedang menjalani kuarantin wajib di rumah sementara menunggu arahan daripada pihak kesihatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tengok peminpin PAN yang melalak semasa dalam parlimen dan pada pagi selasa 2 Ogos mengajak kepada perhimpunan ramai sedangkan Ketua Pemuda PAN pun dalam kritikal , sepatutnya mengajak semua orang memohon Doa agar Saudara Shazni Munir cepat sembuh bukan minta ramai lagi diserang oleh covid19

Comments are closed.