Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

KUALA LUMPUR – Penutupan Parlimen atas alasan serangan  Covid-19 hanya menyerlahkan sikap kerajaan yang sanggup meremehkan sistem demokrasi berparlimen.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia satu lagi tindakan penderhakaan terbaharu kerajaan sedangkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah bertitah lebih dari tiga kali mengenai pembukaan semula sidang Parlimen.

“Badan Perhubungan UMNO Kelantan amat kesal dengan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyidih Yassin yang jelas melakukan penderhakaan terhadap KDYMM Seri Paduka Baginda YDPA.

“Justeru, Badan Perhubungan UMNO Kelantan berpendirian tegas mendesak Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Selaku ketua kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas penderhakaan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan agar semua sesi mesyuarat dalam persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua minggu bermula 29 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil penilaian risiko, didapati persidangan Parlimen satu perhimpunan berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua penderhakaan yang berlaku termasuk pembatalan semua Ordinan Darurat sebelum mendapat perkenan Seri Paduka Tuanku, kata Ahmad Jazlan.

“Kegagalan pelaksanaan Titah YDPA adalah satu bentuk penderhakaan nyata, sehingga Tuanku sendiri terpaksa mengeluarkan warkah khas bagi menjelaskan lagi kronologi dan justifikasi pendirian baginda kepada Perdana Menteri.

“Malah kenyataan berbaur angkuh yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri sebelum itu yang menjawab kenyataan Istana Negara juga menyerlahkan sikap Perdana Menteri yang jelas mencabar kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan,” dakwanya.

Katanya lagi, UMNO Kelantan juga sepakat untuk terus mempertahankan dan membela Seri Paduka Baginda YDPA.

“Ia selaras dengan asas-asas dan matlamat perjuangan UMNO yang diperutukkan dalam Fasal 3.2 Perlembagaan UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast