Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bersiap sedia untuk menghalang ahli-ahli parlimen pembangkang menuju ke parlimen di laluan masuk Jalan Parlimen, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 OGOS 2021.

ISUNYA mudah.

Sampai bila kita harus dimomokkan dengan Covid-19 sebagai alasan untuk kita terus bersabar dengan kegagalan yang berlaku.
Mengimbangi antara mengurus penularan Covid-19 dan membuka semula ekonomi atau membuka semula sekolah ada sifirnya. Begitu jugalah ketika mengimbangi risiko Covid-19 dan memastikan demokrasi yang menjadi tiang seri negara ini terus berfungsi.
Mungkin ada yang kata demokrasi tidak penting ketika ini. Kita dalam situasi darurat! Fokus kepada usaha memerangi Covid-19! Berhenti berpolitik!
Tapi kita melihat sendiri implikasinya apabila demokrasi dibunuh dengan penutupan Parlimen (walaupun perlembagaan membenarkan Parlimen bersidang ketika darurat; YDPA juga merestuinya).
Kerajaan yang bebas menggunakan kuasa tanpa semakan Parlimen telah melahirkan penyelesaian separa masak, merugikan dan syok sendiri. Almarhum Prof. Syed Hussein Alatas kata JADONG (jahat, bodoh, sombong).
Berapa banyak pelaburan negara hilang?
Berapa banyak SME lingkup?
Berapa banyak rakyat mati bunuh diri?
Berapa banyak kes meningkat sepanjang tempoh darurat?
Berapa banyak rakyat yang telah mati akibat Covid-19 sepanjang darurat?
Semua kegagalan ini cuba ditutup dengan alasan rakyat gagal mematuhi SOP walhal kerajaanlah yang sebenarnya gagal mengurus pandemik. Rakyat dikompaun puluhan ribu ringgit sedang menteri yang gagal menunaikan tanggungjawab terus kekal menikmati jawatan.
Benar kita berada di dalam situasi krisis tetapi yang menjadikan krisis ini lebih parah ialah kegagalan menguruskannya. Ini perlu diubah dengan segera. Kita tidak mahu daripada kerajaan gagal kita menjadi negara gagal (failed state).
Covid-19 hampir pasti akan menghantui kita untuk satu tempoh masa yang lebih panjang. Lebih-lebih lagi dengan penularan varian Delta yang didakwa lebih mudah merebak dan boleh menjangkiti mereka yang telah divaksin. PIK belum pasti mampu mengeluarkan kita daripada pandemik ini. Perjalanan kita masih jauh.
Justeru, membiarkan Covid-19 terus menerus dijadikan ‘scare tactic’ untuk menutup segala pintu perubahan dan menormalisasikan kegagalan ini tidak lagi boleh diterima.
SISTEM perlu diubah; bukan hanya merawat SIMPTOMnya.

Jimat Khalid,
Pembaca MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast