Romelu Lukaku. Foto BBC.

LONDON – Chelsea dilaporkan telah melancarkan bidaan kedua mereka ke atas penyerang sensasi Inter Milan, Romelu Lukaku namun ia ditolak lagi oleh kelab Itali itu.

Pengurusan tertinggi Inter menegaskan Lukaku tidak akan dijual walaupun dengan apa jua harga.

Wartawan Gianluca Di Marzio memberitahu Chelsea membuat bidaan bernilai €100 juta (RM587 juta) dengan seorang pemain sebagai tambahan iaitu Marcos Alonso.

Lukaku, 28, merupakan pemain yang menjadi idaman Chelsea untuk dibawa pulang ke Stamford Bridge sejak era Antonio Conte lagi.

Namun usaha itu gagal dan Chelsea ketika itu mendapatkan Alvaro Morata dan Lukaku menyertai Manchester United.

Penyerang Belgium itu kemudian menyertai Inter dan menjadi watak penting yang membantu kelab itu menjulang Serie A setelah sekian lama.

Chelsea juga mensasarkan beberapa nama besar di posisi serangan antaranya Erling Haaland dan juga Harry Kane namun harga dua pemain tersebut dikatakan terlalu mahal. – MalaysiaGazette