Datuk Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat dan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dianggap biadap.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, ia jelas dicerminkan dengan keangkuhan Ahli Parlimen Ampang itu mempersoalkan titah YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila mempersoalkan titah baginda.

“Keangkuhan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bahawa YDPA perlu mendapatkan penjelasan daripada Kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah adalah biadap dan tidak jauh dari satu bentuk penderhakaan.

“Zuraida sekaligus bertindak memperlekehkan kebijaksanaan Agong di dalam titah berkenaan pembatalan Ordinan Darurat yang perlu dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memenuhi Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau wajar dilaporkan dan disiasat sekiranya telah melangkaui batas dalam kenyataan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida di dalam Wawancara bahasa Inggeris, Consider This di Astro Awani malam tadi berkata, “Agong seharusnya mendengar apa yang disyorkan oleh Kabinet. Sepatutnya ada perbincangan dan libat urus.

“Tidak harus ada sebarang kenyataan awam yang saya fikir tidak wajar dalam sistem Raja Berperlembagaan,” katanya.

Dalam wawancara itu, Zuraida berkata, YDPA perlu menurut nasihat Kabinet dalam kebanyakan perkara boleh mendapatkan penjelasan daripada terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.

Malah Zuraida menjelaskan yang Kabinet telah memutuskan untuk membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai dan berdasarkan proses yang ada telah membawa keputusan itu kepada pengetahuan Agong.

Zuraida berkata demikian merujuk kepada surat Istana Negara pada 29 Julai lalu yang menegaskan Agong “sangat dukacita” dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata Ordinan Darurat telah dibatalkan di saat perkenan belum diberikan.

Agong sebaliknya bertitah yang ordinan tersebut perlu dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memenuhi Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.
Laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Dalam pada itu, satu laporan polis dibuat oleh individu yang enggan dinamakan di Balai Polis Batu 9 Cheras di sini yang mana menuntut Zuraida disiasat berdasarkan kepada kenyataan berbaur derhaka terhadap YDPA.

“Beliau (Zuraida) menyimpulkan bahawa YDPA telah khilaf kerana tidak merujuk Kabinet dan Perdana Menteri terlebih dahulu berkenaan isu pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen baru-baru ini.

“Tindakan ini jelas memperlekehkan institusi diraja,”” tulis laporan polis itu. – MalaysiaGazette