The police are hunting for Safiey Illias and the Instagram Account owner of SafieyIllias94 over the investigation of obscene post on Instagram with underage children
Kajang District Police Chief, Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Gara-gara masalah hutang, seorang lelaki warga tempatan dicederakan sehingga mati.

Kejadian dilaporkan berlaku di tepi jalan kawasan Taman Taragon Puteri, Batu 9 Cheras.

Mangsa disyaki terlibat dalam satu pergaduhan bersama beberapa orang individu berkumpulan, kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan hari ini.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima panggilan kecemasan Selasa lalu, lebih kurang 6.45 petang berhubung pergaduhan melibatkan beberapa orang lelaki di tepi Jalan Persiaran Puteri 1, taman perumahan itu.

“Sebaik saja anggota polis tiba di tempat kejadian, polis menemui si mati dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, suspek bersenjatakan pisau dan batu bata melalui kesan kecederaan fizikal mangsa.

Bertindak atas maklumat, menurut Mohd Zaid, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah menjalankan operasi khas bagi mengesan kesemua suspek yang terlibat di dalam kejadian itu.

Ujarnya, sehingga jam 3.30 pagi tadi, kesemua lima lelaki tempatan yang terlibat di dalam pergaduhan tersebut berjaya ditangkap polis dan mereka berusia lingkungan 39 hingga 48 tahun.

Kesemua mereka telah direman oleh Majistret Mahkamah Kajang selama enam hari mulai hari ini hingga 8 Ogos 2021 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian ini, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat ASP Mohd Radzee Jamudi. – MalaysiaGazette