Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil berjalan keluar selepas memberi keterangan berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Empat ahli Parlimen pembangkang mendakwa adalah salah di sisi undang-undang menghalang ahli Parlimen daripada memasuki Dewan Rakyat untuk menjalankan tugas mereka.

Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang mewakili tiga ahli Parlimen yang lain berkata, Seksyen 124 Kanun Acara Jenayah sangat jelas menegaskan menjadi satu kesalahan untuk menghalang seseorang ahli Parlimen menjalankan tugas dan kuasa-kuasa yang diberikan padanya.

“Berkaitan apa yang telah berlaku pada Isnin lalu, saya cuma mahu menekankan pada 13 Julai 2020 sewaktu Parlimen memulakan penggal ketiga meluluskan satu usul oleh Menteri Dalam Negeri, yang mana Dewan Rakyat memerintahkan Ketua Polis Negara (KPN) harus memastikan tidak ada sebarang halangan untuk ahli-ahli Parlimen pergi dan datang ke persidangan dewan.

“Malangya pada Isnin lalu ahli-ahli Parlimen telah dihalang dan ramai merasakan berlaku satu perlanggaran terhadap perintah dewan yang diamanahkan kepada KPN dan beberapa laporan polis dibuat untuk disiasat di bawah seksyen yang diperuntukkan itu.

“Hari ini saya antara empat wakil rakyat yang dipanggil untuk merakam percakapan dan tanpa masalah menjawab segala soalan kepada polis tanpa halangan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar IPD Dang Wangi 12.15 tengahari tadi.

Terdahulu beliau antara empat ahli Parlimen pembangkang yang hadir untuk merakam percakapan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Tiga yang lain ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Mazlee Malik, Ahli Parlimen DAP Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Tambah beliau, difahamkan ada ahli-ahli Parlimen sekarang berada di luar kawasan dan sama ada mereka akan dirakam percakapan di kawsan mereka ataupun di negeri-negeri lain akan ditentukan polis kemudian.

“Dan saya lihat kesemua ahli-ahli Parlimen pembangkang yang terlibat dalam proses siasatan polis bersedia memberi kerjasama penuh kepada polis,” ujarnya.

Katanya, pihaknya kesal dihalang masuk dewan Isnin lalu kerana ada barang peribadi dan urusan aturan mesyuarat yang disediakan untuk perbahasan dewan tertinggal dan tidak sempat diambil dari meja masing-masing di Dewan Rakyat.

“Polis sepatutnya tak boleh halang kami mengambil semula barang-barang penting kami yang tertinggal di atas meja dalam dewan. – MalaysiaGazette