Penemuan mayat seorang wanita dengan kesan melecur seluruh badan menggemparkan penduduk Taman Bidara di Selayang.

GOMBAK – Penduduk Taman Bidara di Selayang, dekat sini, gempar berikutan penemuan mayat seorang wanita dengan kesan melecur seluruh badan mangsa di padang bola sepak kawasan perumahan itu pada awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mayat itu ditemui dalam keadaan meniarap.

“Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan seorang perempuan tempatan berumur 32 tahun dan berasal dari Selayang.

“Siasatan awal menerusi kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati mangsa telah ke tempat kejadian pada jam lebih kurang 1 pagi hari ini dengan menaiki kenderaannya,” katanya dalam kenyataan sambil menambah pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 7.30 pagi.

Menurut Zainal Mohamed, sejurus sampai di lokasi kejadian mangsa telah memberhantikan kenderaan yang dipandu di tepi jalan di kawasan perumahan tersebut lalu keluar daripadanya lalu menuju ke arah padang bola bersama satu objek yang menyerupai tong plastik.

Katanya, polis turut menjumpai barang peribadi dan barang kemas milik mangsa yang ditanggalkan di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan siasatan diklasifikasi di bawah Kes Mati Mengejut (SDR).

“Polis sedang meneruskan siasatan dan mayat kini dihantar ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast