sembilan wanita dan seorang penjawat awam antara ditahan berparti liar berbekalkan dadah di kondo mewah di Jalan Ceylon, Bukit Bintang pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Penjawat awam antara 15 individu yang dicekup polis kerana disyaki menyertai sambutan parti liar di sebuah kondominium mewah di Jalan Ceylon awal agi tadi.

Dalam operasi bermula jam 1 pagi tadi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menangkap enam lelaki dan sembilan wanita berusia 17 hingga 45 tahun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati 11 suspek termasuk lapan wanita positif dadah.

“Hasil serbuan di dalam salah sebuah unit di kediaman mewah itu menemui 15 individu termasuk sembilan wanita yang sedang berkumpul dan mengadakan parti liar tanpa menyedari kehadiran polis.

“Pemeriksaan polis di dalam unit itu mendapati terdapat kesan penggunaan bahan terlarang iaitu dadah oleh kesemua individu itu, selain dilengkapi alat pembesar suara serta lampu disko.

“Semua suspek turut melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana melakukan aktiviti sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Pagi tadi perintah reman telah diperolehi ke atas kesemua suspek sehingga 8 Ogos ini untuk membantu melengkapkan siasatan polis untuk tindakan lanjut,” tegasnya. -MalaysiaGazette