Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bercakap kepada media selepas membuat laporan berhubung salahguna kuasa dan fitnah ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dinasihatkan bertaubat selepas mengeluarkan kenyataan fitnah kononnya Sabah gagal dimajukan sepanjang 60 tahun ditadbir Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah itu tidak berasas malah ekonomi negeri di bawah bayu itu menunjukkan prestasi yang baik ketika pentadbiran Tan Sri Musa Aman.

“Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah pada 2017 berada pada kadar yang tertinggi di Malaysia iaitu 8.2 peratus.

“Manakala rezab kewangan Sabah berjumlah hampir RM4 billion ringgit manakala jumlah pelabur asing ke Sabah juga amat memberansangkan.

“Malangnya tuduhan Shafie kononnya Sabah jauh ketinggalan dari sudut ekonomi walaupun telah merdeka selama hampir 60 tahun jelas ibarat meludah ke langit kena muka sendiri,” katanya satu kenyataan, hari ini

Zulkarnain juga menggesa Shafie melihat semula prestasi beliau ketika menggalas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada 2009 sehingga 2015 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Perdana Menteri Malaysia sebelum ini telah melantik Shafie untuk mengisi portfolio di KKLW agar pembangunan seimbang dapat dibawa dan diselesaikan di Sabah.

“KKLW telah diberikan dengan peruntukan cukup besar oleh Kerajaan Malaysia sebelum ini, saban tahun berbillion ringgit diberikan malahan ditambah sekiranya masih tidak mencukupi.

“Dianggarkan sebanyak RM34 billion telah disalurkan kepada KKLW ketika itu. Malangnya Shafie telah gagal menyempurnakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya untuk membantu membangunkan Sabah,” dakwanya.

Menurut Zulkarnain, kegagalan Shafie boleh dilihat apabila isu jalan, bekalan air bersih dan elektrik masih menjadi isu utama di Sabah walaupun negeri itu telah merdeka hampir 60 tahun lamanya.

“Ini adalah fakta yang sahih. Rujuk kepada pejabat daerah khususnya bahagian pembangunan di seluruh Sabah untuk menyemak rekod pembangunan KKLW.

“Shafie telah menganaktirikan Sabah. Walaupun dendam kesumat Shafie terhadap Tan Sri Musa sebagai Ketua Menteri Sabah menyebabkan Shafie bertindak sedemikian namun akhirnya rakyat Sabah menjadi mangsa,” katanya.

Katanya lagi, bukti paling ketara menunjukkan kegagalan Shafie sebenarnya boleh dilihat kepada pembangunan di daerah Semporna.

“Mungkin sebelum ini alasan agak sibuk dengan tugasan di ibu negara kerana menjawat jawatan Menteri KKLW.

“Selama 26 bulan menjadi Ketua Menteri Sabah, Shafie hanya membawa pembangunan ke Semporna hanyalah restoran makanan segera sahaja.

“Bukan sahaja Semporna sebaliknya ekonomi Sabah turut jatuh, buktinya KDNK Sabah pada 2017 berada pada kadar 8.2 peratus

“Namun selepas dua tahun Shafie menjadi Ketua Menteri Saba, kadar KDNK Sabah menjunam ke paras 0.5 peratus.

“Malangnya selepas 26 bulan, tidak ada satu pun pelabur luar yang berjaya dibawah masuk ke Sabah malahan kes pengangguran juga semakin bertambah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast