Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan dalam tempoh terdekat ini, tidak timbul siapa yang akan menggantinya kerana ia akan ditentukan oleh 220 Ahli Parlimen.

Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Ahli Parlimen boleh membuat undian dan memberi sokongan secara majoriti sama ada kepada pemimpin UMNO atau sesiapa sahaja yang dicalonkan.

“Semua Ahli Parlimen ini akan menentukan siapa Perdana Menteri menggantikan tempat Muhyiddin apabila Parlimen bersidang nanti, tetapi kerajaan pula menetapkan mesyuarat (persidangan) itu pada bulan September.

“Tetapi, macam mana nak cari pengganti, (kerana) Muhyiddin mendakwa (dia) masih ada majoriti. Kalau UMNO, yang saya difahamkan ada empat lagi Ahli Parlimen, menjadikan 12 orang tarik sokongan, dia sudah tak ada majoriti.

“Lepas itu, dia mendakwa boleh terus menjadi Perdana Menteri selama satu bulan sebelum diadakan mesyuarat Parlimen September ini, ini tidak baik dan tidak ikut kehendak perlembagaan kerana dia tidak ada majoriti dan tak layak jadi Perdana Menteri, tak layak memimpin kerajaan. Dia mesti terima hakikat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pejuang di sini, hari ini.

Menurut mantan Perdana Menteri itu, sekiranya Muhyiddin belum sahih kehilangan majoriti, beliau sepatutnya mengadakan segera sidang Parlimen untuk menentukan sama ada dirinya mempunyai (majoriti) atau tidak.

“Ya, waktu ini tidak boleh bersidang sebab ada masalah dengan Covid-19, tetapi kita kena ada mesyuarat Parlimen secara hibrid. Kita boleh terima kalau dibuat demikian.

“Sepatutnya dia minta daripada semua pihak sokongan itu secara bertulis, seperti mana kita tahu apabila saya letak jawatan tempoh hari, Yang di-Pertuan Agong telah meminta setiap ahli Parlimen membuat deklarasi depannya.

“Tetapi, ini tidak dilakukan. Cuma pengakuan yang dibuat oleh Muhyiddin bahawa dia mempunyai majoriti. Sebenarnya dia tidak mempunyai, semua orang tahu kerana penarikan balik UMNO seramai 12 orang,” katanya.

Beliau menambah, pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tahun lalu dengan kelebihan majoriti dua undi, tetapi yang menarik diri dari menyokongnya sekarang ialah 12 orang.

Katanya, dengan jumlah itu tidak mungkin Muhyiddin mempunyai majoriti lagi, tetapi dia memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaliknya.

“Bermakna dia berbohong. Ini yang berlaku dan kali ini pun nampak sekali lagi dia berbohong,” katanya.

Mengenai tindakan blok pembangkang yang tidak boleh menerima Perdana Menteri sekarang, Tun Dr. Mahathir berkata, tindakan itu logik kerana Muhyiddin tidak ada majoriti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast