Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Annuar Musa (kiri) bersiap sedia pada sidang media tergempar berkenaan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan sebarang Akuan Bersumpan (SD) sudah tidak diterima Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan menghantar SD tambahan menarik sokongan kepada kerajaan juga bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Pihak istana tidak lagi menerima SD atau akuan bersumpah atau surat tersebut. Jadi, jelas bahawa ada kenyataan daripada Presiden UMNO yang mengatakan akan menghantar nama lagi, ini adalah bertentangan dengan perkenan dan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam sidang media tergempar ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, Ahmad Zahid berkata, parti pimpinannya itu akan menghantar surat akuan tambahan senarai ahli Parlimen bagi menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, senarai terbaharu itu adalah tambahan kepada lapan nama ahli Parlimen yang dihantar kepada Agong pada 30 Julai lalu.

Ismail Sabri dan 30 lagi ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini pula berkata, sebarang kenyataan yang bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong adalah ditolak termasuk SD yang dikemukakan Ahmad Zahid.

“Kami ahli Parlimen yang setia kepada Agong akan patuh kepada titahnya itu apa pun perkara yang nak diselesaikan, tentang perkara berkaitan kerajaan perlu dilakukan di Parlimen.

“Kami berpandangan, perkara lain adalah perkara yang di luar perkenan Agong, hantar SD atau surat akuan termasuk untuk melakukan tindakan yang boleh runtuhkan kerajaan sebelum Parlimen diadakan.

“Jika tindakan runtuhkan kerajaan, kitalah yang gagalkan hasrat dan titah Agong supaya parlimen bersidang dan keabsahan ditentukan di dalam Parlimen,” katanya lagi.

Muhyiddin pada Rabu berkata, satu usul undi percaya terhadap beliau akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang September ini.

Perkara tersebut telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Muhyddin untuk menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Sementara itu, dalam sidang media hari ini, seramai 21 ahli Parlimen hadir dengan menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN sehingga satu usul undi percaya terhadap Muhyiddin diadakan.

Mereka adalah Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Halimah Sadique dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid.

Hadir sama adalah Ahli Parlimen Ayer Itam yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Mutalib, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hassan Ariffin, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed; Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan Ahli Parlimen Payar Besar, Shahar Abdullah.

Seramai tiga ahli Parlimen tidak hadir namun menyokong pendirian yang sama adalah Ahli Parlimen Tangjong Karang, Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.

Sejumlah 10 pagi ahli Parlimen yang turut menyokong pendirian itu adalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican; Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin; Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

31 ahli Parlimen BN kekal sokong kerajaan PN – Ismail Sabri

1 Komen

  1. Kah kah kah…ko ni Dato’ Pengelola Istana Negara kaaa? Sedangkan titah tuanku suruh bahas Ordinan Darurat pun ko derhaka dan menipu..siapa nak percaya ko ni lg Mail oiiii

Comments are closed.