Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Rakyat sedang giat memerhati situasi mutakhir di negara ini di mana kemelut politik dan ekonomi yang semakin kronik membayangkan betapa sukarnya pimpinan kerajaan melunaskan janji-janji yang pernah dibangkitkan kepada rakyat.

Dengan kesempatan inilah rakyat menilai strategi, kekuatan dan reputasi parti politik, bukan sahaja melibatkan percaturan politik tetapi penglibatan jalinan kerjasama antara parti yang boleh menyelesaikan kemelut politik negara yang semakin kritikal ini.

Realitinya rakyat sudah muak dengan konflik politik dalam kancah wabak pandemik dan kecelaruan politik nasional, pergelutan kuasa tanpa kesudahan dan tidak banyak penekanan kepada pembangunan atau pemulihan ekonomi negeri.

Lantaran itu, rakyat hanya menjadi pihak pemerhati dalam urusan politik dan mengelak terjelumus dalam kancah. Tumpuan mereka hanya kepada memikirkan kesan strategi pemulihan sosio ekonomi taraf kehidupan mereka yang terancam akibat pandemik yang semakin meningkat jumlah kes baharu.

Malah belum menampakkan ada penurunan yang ketara walaupun sehingga kini hampir 50 peratus rakyat dewasa memperoleh suntikan vaksin pertama.

Justeru, kestabilan sesebuah negara itu wujud berbagai cara di mana politik yang menjadi paksi kepada keamanan dan kesejahteraan rakyat, ekonomi dari segi pengagihan dana, nilai pelaburan negara dan negeri, peluang pekerjaan, kemakmuran rakyat dan sosioekonomi yang merangkumi taraf hidup, kecukupan makan minum, pendidikan dan pengagihan pendapatan rakyat.

Saya kurang bersetuju kepada cubaan atau ujian kepada sistem politik atau perlembagaan negara atau negeri yang dikucar-kacirkan oleh pihak-pihak tertentu dengan menyaksikan penularan wabak politik seperti domino effect, mencuba kekuatan dan pengaruh parti dan mempengaruhi fikiran dan tindakan rakyat untuk memberontak menentang kerajaan seperti yang berlaku pada Gerakan Bendera Hitam di ibu kota baru-baru ini.

Fenomena ini menjadi sandaran kepada cubaan praktis jalinan kerjasama antara parti, persaingan kuasa dan pengaruh, perlumbaan penguasaan politik yang memberi isyarat kepada kedudukan politik kerajaan persekutuan yang tidak kukuh dan mengekalkan ancaman-ancaman yang boleh menguggat kestabilan politik negara.

Bukan masanya yang sesuai untuk menguji atau cubaan untuk mencerna perlembagaan negara tetapi fenomena kecelaruan politik hari ini membayangkan mekanisme sistem pemerintahan dan politik negeri dan persekutuan harus dinilai semula seperti wujud Akta Anti Lompat parti, Akta Penjanaan Dana politik parti dan sebagainya untuk mendukung amalan demokrasi terpimpin yang lebih efektif di negara ini.

Kegawatan politk dan krisis perlembagaan hari ini mencabar kematangan sistem amalan politik negara sejak kemerdekaan yang boleh menjejaskan reputasi kepimpinan dalam kalangan parti politik untuk menampilkan penjelmaan imej yang positif dalam kalangan rakyat dan pengundi.

Kematangan rakyat bertumpu kepada sejauh manakah parti berpengaruh membuat percaturan politik semasa, apakah rakyat menilai ketelusan, keikhlasan parti memperjuangkan nasib rakyat dan negara; bagaimana sistem dan mekanisme sistem perlembagaan dan politik negara dapat memenuhi keperluan masyarakat dan negara.

Dan bagaimana mewujukan budaya demokratik baharu yang menganjurkan lebih banyak partisipasi rakyat dalam dunia politik tanah air dan meningkatkan tuntutan keperluan rakyat untuk membangkitkan aspirasi negara mengikut acuan dan keperluan rakyat berbanding keperluan politik.

Kerajaan juga harus mempergiatkan usaha pelaburan asing dan penjanaan pendapatan ekonomi tempatan dengan melonjakkan sektor ekonomi menerusi insentif-insentif dan juga memastikan rakyat menyokong industri tempatan dengan kaedah yang lebih efisyen termasuklah memperkenalkan kembali sistrm percukaian GST yang boleh memberi pendapatan berterusan kepada kerajaan serta mengurangkan hutang negara.

Seharusnya pendekatan untuk mengurangkan politiking dan membina jaringan ukhwah sesama parti politik, baik kerajaan atau pembangkang harus dihormati semua pihak.

Dalam hal ini, semua pihak, iaitu parti-parti kerajaan mahupun pembangkang harus faham pembentangan dan kelulusan belanjawan kali ini sangat kritikal dan boleh menyebabkan risiko peruntukan kerajaan terjejas sekiranya ia gagal memperoleh sokongan kelulusan belanjawan tersebut.

Seharusnya semua parti politik bersikap lebih matang, tidak menangguk di air keruh, memberi keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negara berbanding prinsip perjuangan politk kepartian yang sudah pasti akan mencetuskan polemik dan konfrantasi dalam kalangan rakyat di negara ini.

Tumpuan seharusnya kepada strategi dan bentuk tindakan yang harus diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut dibuat dengan bijaksana.

Dalam hal ini semua parti harus duduk semeja dan para pemimpin parti politik lain untuk menyelesaikan masalah negara berkaitan dengan strategi pengawalan penularan Covid-19 dan mencapai persetujuan untuk memberi sokongan penuh kepada kerajaan meneruskan agenda nasional termasuklah memastikan kemelut politik dan krisi perlembagaan tidak berpanjangan.

Barangkali ada isu yang membuatkan parti-parti politik bertelagah atau tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan sekarang, tetapi satu hal yang harus diingat bahawa kemelut pendemik Covid-19 pada ketika ini harus diberi keutamaan berbanding dengan perebutan politik yang merugikan rakyat dan negara.

Percaturan sekarang bukanlah satu ugutan atau ancaman dalam senario politik sekarang tetapi membina keserasian politik terutamanya dalam menghadapi ancaman pandemik gelombang ketiga yang berlaku sekarang.

Dalam hal ini, sebagai parti kedua yang terbesar memperoleh kerusi Parlimen dilihat sudah menjelmakan suatu kekuatan dalam parti sendiri,mengetengahkan pelan dan perancangan untuk memajukan negara terutamanya menghadapi konflik dan kontroversi politik yang berlaku sekarang.

Tindakan UMNO menarik sokongan terhadap kepimpinan negara yang diterajui oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan bahawa UMNO bersedia berkorban menaruh prinsip untuk berjuang demi kepentingan rakyat dan negara tetapi mereka seharusnya tidak lupa bahawa perjuangan menegakkan prinsip politik, imej dan reputasi parti tidak membelakangkan usaha untuk meredakan kesengsaraan rakyat menghadapi pandemik gelombang ketiga ini dan bukan bermain dengan strategi politik semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional bercakap pada sidang media tergempar berkenaan mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2021.

Saya tidak menolak bahawa UMNO boleh ke depan dan mengepalai kerajaan negara sekiranya dia mampu untuk membuka ruang kerjasama dengan parti-parti lain dan membantu kerajaan menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat negara ini.

Dalam hal ini juga, UMNO tidak boleh membelakangkan teras prinsip perjuangan politik dan partinya sekiranya ia mahu berkuasa. Perjuangan parti harus diberi keutamaan di samping mempunyai niat murni untuk menjaga kemaslahatan, kebajikan dan perpaduan utuh dalam kalangan rakyat.

Ini bukanlah waktu terbaik untuk melakukan perebutan kuasa dalam kencah masalah pendemik yang serius dihadapi negara. Tambahan pula, bulan November ini akan berlakunya pembentangan belanjawan negara untuk tahun hadapan.

Sudah pasti kemelut perebutan kuasa nanti akan menjejaskan nilai pelaburan asing di negara ini kerana mereka tidak berasa selesa dengan langkah mengetepikan perancangan hala tuju belanjawan negara berikutan menghadapi kemelut politik tanah air.

Sampai masanya sekarang, rakyat tidak mahu terbeban dengan kemelut politik sebaliknya para pemimpin parti-parti politik perlu segandingan bahu mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan isu-su kritikal masyarakat yang terkesan teruk akibat penularan wabak ini.

Rakyat mahukan pembelaan dan pemeliharaan dari segi sosio ekonomi mereka bagaimana merka akan meneruskan kelangsungan kehidupan bukannya memperjudikan nasib mereka di atas senario politik tak menentu pada masa sekarang.

Pilihan Raya Umum juga tak mungkin dapat dilaksanakan pada masa terdekat berikutan perkembangan penularan Covid-19 yang semakin aktif dan melumpuhkan pergerakan harian di beberapa ibu-ibu kota di negara ini.

Penyatuan parti sangat bernilai untuk mengembalikan kembali tahap ekonomi di negara ini. Langkah beberapa parti yang masih setia bekerjasama dengan kerajaan PN sekarang untuk melestarikan penyatuan kerjasama politik dan memberikan keyakinan kepada rakyat dan para pelabur asing bahawa mereka mampu menjelmakan keamanan dan perpaduan nasional serta membelakangkan persengketaan politik demi masa depan rakyat dan negara ini.

Kalau dilihat apa yang berlaku di beberapa buah negara termasuk negara jiran kita seperti Thailand dan Indonesia, kegagalan kerajaan menyakini rakyat terhadap strategi pemulihan pandemik Covid-19 telah jelas mengakibatkan keadaan huru-hara dan menguggat kepercayaan rakyat kepada pemerintah.

Gesaan penyatuan parti-parti politik untuk menghadapi ancaman dunia ini juga pernah disuarakan oleh Yang di-Pertuan Agong   Agong, ternyata merupakan suatu tindakan bijaksana Baginda meleraikan kemelut ini. – MalaysiaGazette

Dr. Syed Agil Syed Alsagoff adalah Penganalisis Politik merangkap Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia 

Dr Syed Agil Alsagoff.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast