Polis menemui longgokan pakaian dalam yang disimpan oleh saspek dalam dua bilik berasingan di rumah sewanya di Bentong, Pahang.

BENTONG – Bukan sehelai dua tapi selonggok besar pakaian dalam wanita yang disyaki dicuri ditemui dalam bilik seorang lelaki warganegara asing di Kemansur dekat sini kelmarin.

Suspek ditahan kira-kira pukul 3 petang oleh polis bagi membantu siasatan beberapa kes kecurian pakaian dalam wanita di kawasan berhampiran sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian itu disedari berlaku apabila pakaian dalam milik wanita didapati telah hilang dari ampaian belakang rumah.

Menurutnya, tuan rumah dimaklumkan oleh oleh jirannya bahawa seorang lelaki yang tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumahnya dan segera melaporkan kepada pihak polis.

“Tidak lama kemudian anak perempuan berusia 20-an kepada lelaki terbabit telah memberitahu beberapa pakaian dalam miliknya didapati telah hilang dari ampaian belakang rumah mereka.

“Lelaki terbabit terus ke Balai Polis Bentong untuk membuat laporan polis berkaitan pakaian dalam wanita milik anaknya yang telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menahan seorang lelaki warganegara asing hasil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa.

“Suspek berusia 36 adalah penganggur berjaya diberkas di rumah sewanya, dan beliau pernah bekerja sebagai tukang masak sebelum ini.

“Hasil serbuan di rumah saspek pihak polis menjumpai sejumlah besar pakaian dalam wanita di dalam dua buah bilik berasingan disimpan menunjukkan kemungkinan aktiviti jenayah sudah lama berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN :

SJR Bentong: 98 buah kenderaan diarah berpatah balik

PKPD Bentong: Lima SJR, dua jalan ditutup – Zaiham

Bungkus air ketum macam nasi lemak

Dalam pada itu, suspek hanya mendiamkan diri dan hasil siasatan mendapati dokumen pasport warga asing berkenaan telah tamat tempoh sejak tahun 2015 lagi.

Justeru, suspek telah ditahan reman selama 14 hari di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Sekiranya didapati bersalah bagi Seksyen 379 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,

“Manakala bagi Akta Imigresen pula boleh penjara selama lima tahun atau denda tidak kurang daripada RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette