Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertambahan jumlah kluster dalam tempoh antara 23 Jun hingga 1 Ogos menunjukkan bahawa jangkitan virus Covid-19 sudah menular dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh yang sama, didapati bilangan kluster tempat kerja juga telah meningkat dari 180 kluster kepada 204 kluster dan terkini 213 kluster.

Manakala bilangan kluster komuniti juga meningkat dari 86 kluster kepada 91 kluster, dan terkini 142 kluster bagi tempoh tersebut dan peningkatan itu adalah susulan daripada saringan kontak rapat yang meluas, katanya.

“Selain itu, tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai yang menjalankan ujian kendiri atau pengesanan Covid-19 apabila bergejala atau mengetahui
mereka adalah kontak rapat.

“Didapati bahawa lebih kurang 70 peratus ujian RTK-Antigen dijalankan oleh agensi swasta,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Noor Hisham berkata, peningkatan kes juga dipercayai disumbang oleh penularan varian Delta.

Sehingga kini kata beliau, sebanyak 199 kes varian Delta telah dikesan dalam komuniti. Varian Delta ini telah menyebabkan kadar jangkitan virus yang lebih cepat, agresif, dan kurang menunjukkan respon terhadap rawatan yang diberikan.

“Oleh itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa patuh dan kekal mengamalkan langkah-langkah pencegahan, mematuhi Prosedur Operasi standard (SOP) dan mendapatkan
vaksinasi Covid-19.

“Dijangkakan kes akan mula menurun pada akhir bulan Ogos apabila lebih daripada 40 peratus populasi di Malaysia mendapat dos lengkap vaksin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 34 lagi kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Katanya, terdapat 1,191 kluster yang didapati masih aktif dan jumlah keseluruhan kluster yng ditemui di negara ini adalah sebanyak 3,863 kluster. – MalaysiaGazette