Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen UMNO yang didakwa pro Perikatan Nasional (PN) akan membuat satu sidang media berhubung isu kerajaan itu hari ini.

Dalam jemputan yang diterima MalaysiaGazette, sidang media itu akan dibuat jam 11.30 pagi di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Salam, pagi ini, jam 11. 30 pagi, akan ada sidang media ahli-ahli Parlimen UMNO di Auditorium DBKL, Menara DBKL 1, mohon bawa pas media masing-masing.

“Jika ada perubahan akan dimaklumkan kemudian,” kata jemputan itu.

Lewat malam Rabu lalu, satu pertemuan sekumpulan ahli Parlimen UMNO dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dibuat di sebuah hotel di ibu negara.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, pertemuan itu hanyalah perbincangan mengenai keputusan parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau memaklumkan memaklumkan tiada lagi ahli Parlimen UMNO yang akan meletak jawatan.

Ia selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai jemaah menteri PN. – MalaysiaGazette