Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi (kanan) meninjau operasi PPV mega Amanjaya Sports Arena di Sungai Petani, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Langkah usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dibuat di Parlimen pada September depan selari dengan peruntukan undang-undang negara.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, segala tindakan yang diambil kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini mengikut peraturan.

“Saya ada baca penulisan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad di mana proses yang sah memang macam tu (usul undi di Parlimen) jadi tunggu keputusan bulan September ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, semua orang perlu memberi fokus memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara berbanding mengira SD perdana menteri hilang majoriti.

Muhammad Sanusi.

“Letih orang nak rawat Covid-19, hampa duk kira SD lagi. Apa punya kerja ini,” ujar beliau.

Terdahulu, Muhammad Sanusi meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Amanjaya Sport Arena yang merupakan PPV mega pertama di Kedah.

PPV yang mula beroperasi hari ini akan memudahkan kira-kira 150,000 penduduk Daerah Kuala Muda menerima vaksin Covid-19.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Raptor tular didakwa miliknya, Muhammad Sanusi menafikannya.

“Boleh semak dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kenderaan tu milik siapa. Kalau saya ada duit saya akan beli, kalau tak saya buat pinjaman bank.

“Bukan setakat itu sahaja, saya ada beli gerek (basikal) skuter untuk anak saya manakala tudung saji bagi keluarga. Kalau sapa-sapa nak ambil gambar, bagi tahu saya boleh uruskan,” katanya sinis. – MalaysiaGazette