Penyanyi, Siti Sarah Raisuddin dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Unversiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat Covid-19 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Bayi lelaki Siti Sarah yang terpaksa dilahirkan secara pembedahan bagi mengelakkan lebih banyak risiko semalam kini sudah mempunyai nama.

Suami Siti Sarah yang juga pelawak, Shuib berkata, nama anak keempatnya itu adalah Ayash Affan kerana ia menjadi pilihan isterinya sejak hamil.

“Ya, Ayash Affan. Itulah nama anak kami. Sarah yang pilih nama tu. Beriya-iya dia mahu nama Ayash Affan sebab maksudnya bekerja keras, cerdik, cerdas dan pandai,” ungkap Shuib yang sehingga kini belum dapat melihat wajah anak bongsunya itu.

Perkara tersebut dikongsikan Shuib usai majlis bacaan Yassin dan doa selamat untuk isterinya yang masih belum sedarkan diri, malam tadi.

“Terima kasih kepada semua yang sudi mendoakan isteri saya. Saya tahu ramai yang mengenali isteri saya di sini.

“Tolong doakan anak saya yang masih di hospital. Doakan Ayash Affan, semoga dia jadi anak yang soleh, anak nak kuat untuk bertahan dalam masa dua bulan ini. Insya-Allah,” kata Shuib.

Menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya, Shuib turut memberitahu anak bongsunya itu kini berada dalam keadaan stabil dan baik.

“Alhamdulilah sedikit update utuk Ayash Affan, Dr Faiz HUKM beritahu pagi ini dia dah buka mata, kaki dah menendang-nendang, tangan bergerak aktif dan keadaan baby stabil.

“Ya Allah syukur, ini juga berkat doa anda semua yang tidak henti-henti mendoakan kesihatan Ayash.

“Saya balikkan doa-doa kalian, semoga kalian juga dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan yang baik, terhindar daripada segala kemudaratan, insyaAllah amin,” tulisnya.

Semalam, Sarah yang terpaksa bertarung dengan jangkitan wabak Covid-19 terpaksa ditidurkan bagi menjalani pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungannya sekitar pukul 2 petang semalam.

Sarah yang selamat melahirkan anak keempatnya dua jam kemudian bagaimanapun masih belum sedarkan diri hingga kini. – MalaysiaGazette