Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

SHAH ALAM – Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap penganjur atau peserta yang merancang untuk mengadakan perhimpunan jalanan pada 21 Ogos ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang mengeluarkan amaran itu hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat pihak yang merancang akan mengadakan himpunan tersebut.

“Perancangan aktiviti berkenaan adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Tindakan ini juga membelakangkan keselamatan kesihatan dalam senario semasa penularan wabak Covid -19,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

Sehubungan itu Acryl Sani meminta orang ramai tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Polis meminta orang ramai jangan menyertai aktiviti yang melanggar SOP yang sedang berkuatkuasa demi keselamatan kesihatan umum.

“PDRM juga tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang dikesan masih degil menganjurkan atau menyertai sebatang perhimpunan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette