Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kampung Orang Asli Sungai Bot, Karak; Felda Sungai Panching Selatan, Kuantan; dan Jalan Feri Lama, Teluk Gading, Rompin, Pahang antara lokaliti yang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 9 hingga 22 Ogos ini.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua lagi kawasan di Maran, Pahang yang diletakkan dalam PKPD ialah Felda Jengka 18 dan Kampung Paya Besar Kertau.

Menurut beliau, lokaliti di Sabah pula melibatkan empat kawasan di Semarak, Tawau iaitu Taman Semarak Indah, Taman Semarak Jaya, Flat Sri Semarak dan Taman Sejati.

Dua kampung di Penampang dikenal pasti sebagai Kampung Koidupan dan Kampung Guunsing-Novunsu, diikuti Kampung Marau di Sipitang, Kampung Baru Kimanis di Papar dan Kampung Tanjong Kapor di Kudat.

Sementara itu, sembilan lokaliti akan ditamatkan PKPD bermula esok iaitu Medan Klebang Restu, Mukim Chemor, Kinta, Perak; Blok 5, Felda Keratong 7, Muadzam Shah, Rompin, Pahang; Asrama Pekerja dan Tapak Bina Hospital Pendang di Kedah.

Dua lokaliti di Beaufort, Sabah ialah Kampung Lajau dan Kampung Kota Klias; Kampung Tungkang, Kudat; Perumahan Ladang Kim Loong di Beluran, Kampung Telisai, Tungku di Lahad Datu; Taman Jaya Diri di Kota Kinabalu dan dan Kampung Pituru Kinarut, Papar, Sabah.

Sementara itu, kata Hishammuddin, mengenai Task Force Operasi Pematuhan pula, sebanyak 112 permis telah diarah tutup berkuatkuasa serta merta kerana gagal mematuhi SOP.

Katanya, pasukan itu telah melakukan pemeriksaan ke atas 1,754 kilang, 16,826 premis perniagaan, 773 tapak pembinaan dan 277 asrama penempatan pekerja.

Polis juga menurut beliau, turut menahan 261 individu kerana ingkar SOP PKP dan 21 daripadanya direman. – MalaysiaGazette