Petugas kesihatan memberikan suntikan vaksin kepada orang ramai pada program vaksinasi COVID-19 ketika di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti UCSI, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) memberi amaran kepada pihak berwajib, majikan dan masyarakat untuk terus memberi fokus dalam menangani wabak Covid-19 berikutan kadar kes harian Covid-19 yang semakin membimbangkan terutamanya trend di negeri-negeri di luar Lembah Klang yang mampu mencetuskan gelombang varian Delta di dalam komuniti.

Data menunjukkan bilangan kes harian Covid-19 sejak seminggu lalu terus melonjak naik di kawasan negeri-negeri seperti Sabah, Kedah, Perak, Johor dan Pulau Pinang, kata presidennya, Dr Shawaludin Husin.

Menurut data Kementerian Kesihatan, kadar kemasukan ke ICU Covid-19 di Perak dan Kedah sudah pun melebihi had asal dan pertambahan fasiliti dan tenaga kerja masih lagi dijalankan.

Sedangkan kadar vaksinasi di negeri-negeri luar Lembah Klang masih rendah dengan Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Sabah masing masing mencatatkan kadar vaksinasi dua dos bawah 20% manakala Perak baru sahaja mencapai 20.1% kadar vaksinasi dos kedua
setakat 4 Ogos 2021.

MSOSH berpandangan semua negeri Malaysia mesti mencapai kadar vaksinasi penuh melepasi 50% daripada jumlah populasi, termasuk negeri-negeri yang kurang kritikal seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Ini bertepatan dengan kehendak kerajaan untuk mengurangkan kemasukan ke ICU dan hospital oleh pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5, terutama bagi mereka yang dijangkiti virus Covid-19 varian Delta.

Seterusnya, ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN) sedang berjalan, terdapat lebih banyak sektor yang telah dibenar beroperasi walaupun negeri-negeri tersebut berada di dalam PPN Fasa pertama.

MSOSH ingin mengingatkan industri yang dibenarkan beroperasi agar patuh sepenuhnya SOP yang ditetapkan agar kluster tempat kerja seperti apa yang berlaku di Johor tidak berulang.

Ini adalah penting untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pekerjaan serta produktiviti pekerja berada pada kadar yang baik dalam kita mengimbangi faktor hidup dan kehidupan semasa mendepani cabaran Covid-19. – MalaysiaGazette