Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang layak ke akhir keirin lelaki

TOKYO-  Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang layak ke akhir keirin lelaki bagi meneruskan usaha pencarian pingat emas Olimpik Malaysia yang pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas juara dunia berumur 33 tahun itu yang menjadi harapan negara untuk merangkul pingat emas sejak dari awal temasya, mengungguli Saringan Dua di hadapan pelumba Jerman Maximilian Levy dan pelumba dari Belanda Harrie Lavreysen, yang meraih pingat emas dalam acara pecut lelaki.

Sementara itu penyandang juara Jason Kenny dari Britain, pelumba Australia Matthew Glaetzer dan pelumba Suriname Jair Tjon En Fa muncul tiga pelumba terbaik dalam saringan pertama.

Tiga pelumba terbaik dalam dua saringan akan berlumba di peringkat akhir, yang akan bermula pada pukul 11 pagi ini.

Terdahulu seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlepas peluang untuk beraksi dalam saingan peringkat separuh akhir selepas menjadi pelumba terakhir sampai di garisan penamat dalam Saringan Dua peringkat suku akhir.

Sebelum itu, Mohd Azizulhasni melangkah ke separuh akhir acara keirin lelaki dan bergerak selangkah lagi bagi memenangi pingat emas pertama Olimpik Malaysia di Veledrom Izu, Shizuoka di sini hari ini.

Juara keirin dunia berusia 33 tahun itu, menduduki tempat kedua Saringan Tiga selepas tampil tenang untuk menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Jepun Yuta Wakimoto yang memenangi pingat perak keirin di Kejohanan Dunia 2020.

Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago dan pelumba Australia Matthew Glaetzer masing-masing di tempat ke tiga dan empat, bagi melengkapkan senarai mereka yang layak ke pusingan seterusnya.

Sementara itu Muhammad Shah Firdaus Sahrom terkeluar dari cabaran di suku akhir, selepas menamatkan Saringan Dua di tempat terakhir.

Perlumbaan itu dimenangi Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago, manakala pelumba Great Britain Jack Carlin yang menang gangsa acara pecut pada Jumaat di tempat kedua, manakala Jair Tjon En Fa (Surinam) ketiga, dan Maximilian Levy (Jerman) di tempat keempat.

Semalam Muhammad Shah Firdaus, 25, mengalami kecederaan selepas terlibat dalam pelanggaran bersama Jack Carlin dalam Saringan Dua, di mana beliau telah dikejarkan ke Hospital Universiti Juntendo di Shizuoka.

Separuh akhir bermula pada 10.09 pagi ini.- BERNAMA