Noraini wanita
Rosni Sohar

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosni Sohar megambil keputusan meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Wanita UMNO Malaysia memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan peletakan jawatan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

“Maka saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional mulai 7hb Ogos 2021,” katanya menerusi kenyataan.

Rosni berkata, langkah yang diambil itu adalah sejajar sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos lepas dan beliau sebagai MKT setia dan patuh atas ketetapan yang dibuat oleh parti.

Ujarnya, UMNO merupakan sebuah parti keramat yang memperjuang dan mendudkung titah Agong sebagai Raja Berpelembagaan seperti yang termaktub dalam asas dan tujuan UMNO mengikut Fasal 3.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Noraini dan seluruh kakitangan PTPTN kerana telah peluang dan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatannya.

Kelmarin, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi berkuat kuasa serta merta.

Katanya, sebagai Ketua Wanita UMNO, beliau akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 3 Ogos lalu yang menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette