Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan mengutuk usaha kotor pihak tertentu ke atas sekurang-kurangnya tujuh ahli Parlimen untuk menawarkan habuan serta jawatan bagi memberi sokongan kepada kerajaan.

Ketujuh-tujuhnya termasuklah Ahli Parlimen Rasah, Kota Melaka, Ipoh Barat, Kulim Bandar Baharu, Setiawangsa, Kuala Kedah dan Alor Setar untuk menawarkan habuan serta jawatan bagi memberi sokongan kepada kerajaan.

Justeru, mereka mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan secara serius memandangkan kejadian-kejadian serupa pernah berlaku kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang sebelum ini.

“Sekiranya SPRM gagal berbuat demikian ini hanya membuktikan
dakwaan bahawa agensi kerajaan diperalatkan sebagai senjata politik demi survival politik pihak tertentu dan bukannya mendaulatkan undang-undang,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu dibuat bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut mereka, seperti yang umum sedia maklum, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah kehilangan majoriti dan masih enggan meletakkan jawatan berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, sesiapa yang cuba merasuah ahli-ahli Parlimen pembangkang mahu pun yang telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin telah bukan sahaja melakukan satu kesalahan tetapi juga membolehkan Perdana Menteri yang tiada keabsahan mahupun majoriti untuk kekal berkuasa sambil rakyat terus merana,” katanya.

Oleh itu, mereka menegaskan Muhyiddin mesti letak jawatan segera, atau memanggil sidang khas Parlimen sekarang untuk membahas dan memutuskan usul undi percaya dalam masa terdekat.

“Jangan gunakan masa sehingga September untuk “membeli”
sokongan dengan pelbagai taktik yang tidak bermaruah dan menyalahi undang-undang,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette