Gambar hiasan
JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)i Johor  telah menahan seorang pemilik syarikat kontraktor dan seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di sini atas kes mengemukakan dokumen palsu.

Kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia 36 dan 45 tahun tersebut telah ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Hasil siasatan mendapati penolong jurutera tersebut dikatakan bersubahat bersama pemilik syarikat kontraktor yang mempunyai dua syarikat berdaftar dengan mengemukakan dokumen dan sijil Perolehan Kerja Kerajaan CIDB, Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia dan sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera dengan Kementerian Kewangan yang mengandungi butir palsu kepada pihak MBIP bagi mendapatkan kelulusan kerja sepanjang tahun 2018 sehingga tahun 2020.

Kerja tersebut melibatkan projek mengikis permukaan jalan dan menurap semula jalan serta mengecat semula petak letak kenderaan melibatkan jumlah keseluruhan tuntutan lebih RM350,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan permohonan reman ke atas semua suspek akan dibuat pada hari ini di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast