takiyuddin hassan revocation of Emergency Ordinance Dewan Rakyat Parliament Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh umat Islam dan rakyat di negara ini meneladani sifat mulia Nabi Muhammad SAW.

Baginda bertitah, antara sifat mulia Rasulullah yang wajar diikuti ialah bersifat benar dalam semua perkataan dan perbuatan, bersifat jujur dan dipercayai serta bijaksana dalam menyampaikan dakwah.

Dengan demikian, sifat ini telah menjadikan Baginda seorang pemimpin yang tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang boleh mengundang gejala rasuah, tipu muslihat dan mementing diri sendiri dengan kebesaran dunia seperti pangkat, harta dan kedudukan.

Titah baginda, hijrah dan pembinaan negara saling berkait rapat serta menghayati hijrah bukan sahaja berupaya membentuk akhlak mulia, malah berupaya dijadikan asas pembentukan sebuah negara.

“Pada hemat beta, pemerintahan dan kepimpinan Nabi Muhammad adalah contoh terbaik untuk diikuti oleh sekalian manusia.

“Menghalusi sirah Baginda, ianya jelas membuktikan Rasulullah seorang pemimpin beretika tinggi dengan akhlak mulia merangkumi sifat integriti, kejujuran dan amanah.

“Sifat-sifat ini begitu sebati dalam diri Baginda sehingga diberi gelaran Al-Amin,” titah baginda pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah.

Titah baginda, dalam aspek pentadbiran dan pembuatan keputusan, Rasulullah mengamalkan sikap terbuka dan sentiasa mendengar buah fikiran ramai menerusi konsep Syura.

Kerana itu, Baginda sentiasa membuka ruang seluas-luasnya untuk bermesyuarat, berbincang dan mendengar pandangan dalam setiap perkara yang berkaitan dengan kebajikan serta kemaslahatan ummah.

“Selain itu, sifat diri Nabi Muhammad turut meliputi sifat tawaduk dan sentiasa mengagungkan kehebatan Allah.

“Baginda turut berusaha menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Semua ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang boleh merangsang sebuah pentadbiran negara yang beretika dengan nilai yang murni,” titah tuanku.

Baginda YDPA bertitah, ciri-ciri kepimpinan itu telah berjaya membentuk sebuah negara Islam yang dijulang tinggi dan disegani serta Rasulullah adalah sebaik-baik role model untuk diteladani dan diikuti oleh seluruh rakyat.

Sempena dengan sambutan tahun baru hijrah ini, baginda mengajak seluruh rakyat untuk turut melakukan hijrah dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Baginda menyeru seluruh rakyat untuk bekerjasama dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan strategi peralihan untuk keluar secara berfasa dari kemelut pandemik itu.

“Beta berkeyakinan negara pasti akan berjaya keluar dari apa juga kemelut yang melanda jika kita semua terus berpadu tenaga dan mengamalkan sifat terpuji Baginda Nabi Muhammad SAW.

“Peristiwa hijrah telah memberi panduan yang jelas kepada kita mengenai erti sebuah pengorbanan dan kejayaan yang terpahat dalam lipatan sejarah.

“Sempena dengan tema “Manhaj Rabbani Umat Berkualiti”, beta menyeru kepada seluruh rakyat, bangkitlah bersama-sama beta untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan, mematuhi SOP ditetapkan demi untuk negara dicintai ini,” titahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast