Anak-anak yatim piatu menunjukkan gambar kenangan sekeluarga selepas kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 di Pangsapuri Seri Perantau, Port Klang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OGOS 2021.

PELABUHAN KLANG – Lima beradik tidak pernah menyangka mereka perlu hidup berdikari pada usia muda, apatah lagi ada yang masih bersekolah dan sedang melanjutkan pengajian di menara gading selepas kehilangan ibu bapa akibat jangkitan Covid-19, baru-baru ini.

Lebih memeritkan apabila pemergian ibu mereka, Ramlah Muktar, 43, tanpa dimaklumkan lebih awal oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang dijemput ilahi pada jam 3.30 pagi, sedangkan mereka mendapat perkhabaran sedih itu empat jam selepas itu, jam 7.30 pagi, 31 Julai lalu.

Anak ketiga pasangan suami isteri itu, Uzair Wazini Mohd Suhaimi,16, melahirkan rasa terkilan kerana kematian ibunya itu diketahui selepas dia dan empat adik-beradik terputus hubungan selama empat hari tanpa khabar berita.

Uzair Wazini Mohd Suhaimi

“Masa mak pergi HTAR itu, hari pertama dan kedua kami sempat boleh Whatsapp lagi, boleh telefon lagi, sampai 24 Julai tu dia berhenti sekejap, rasanya bateri habis ke tak tahu laa.

“Tapi masa 26 Julai tu mak buka balik telefonnya, dia online, bluetick sekejap saja, lepas itu lepas 26 Julai mak terus tak online sampai 31 Julai pada hari kematian.

“Lepas itu makcik dapat panggilan daripada polis, katanya mak dah tak ada, masa itu kami rasa terkilan juga laa sebab empat hari tak dapat berita daripada HTAR.

“Hospital pun tak hubungi waris-waris sedangkan kami ada, nombor kami pun ada, tapi dia tak bagi tahu, kami rasa terkilan sikit,” katanya kepada MalaysiaGazette di kediamannya di pangsapuri Seri Perantau, hari ini.

Uzair Wazini yang bersekolah di Maahad Tahfiz Az Zikr, Batu Belah lebih rasa terkilan apabila dia hanya sempat menemui ibunya sehari sebelum dimasukkan ke HTAR untuk mendapatkan rawatan susulan selepas disahkan positif Covid-19 pada 21 Julai lalu.

“Saya sempat jumpa mak sehari saja, saya kena masuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang jadi imam kat sana.

“Lepas 20 Julai kat sana, saya sempat balik rumah, jumpa mak sehari, masa 21 Julai mak pergi buat ujian saringan, lepas itu dia positif, esoknya 22 Julai dia pergi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Daerah Klang di Dewan Sukan Taman Sri Andalas untuk pakai gelang.

“Lepas itu dapat tahu mak kategori 4, lepas itu terus kena hantar ke HTAR Klang. Masa itu mak masih okay lagi, boleh gelak-gelak lagi senyum, masa kat HTAR baru mak kata lemah sikit, sesak nafas, batuk, sakit tekak, masa itu kami rasa risau juga.

“Masa itu mak seorang saja yang pergi, adik-beradik yang lain kuarantin di rumah,” katanya.

Dia masih tidak dapat melupakan janji ibunya empat hari sebelum terputus hubungan di mana akan balik ke pangkuan keluarga, sebaliknya lima beradik itu terkejut ibu kandungnya kembali ke rahmatullah.

“Mak pun ada cakap dia akan balik, dia kuat, dia janji dia akan kuat untuk anak-anak, tapi masa 31 Julai kami dapat berita yang sedih, rupanya mak dah tiada.

“Masa itu kami tak sedia apa-apa, urusan jenazah semua hospital yang buat, kami pun tak dapat tolong apa-apa sebab mak jenazah Covid-19, kami rasa macam sedih juga, tak dapat menguruskan jenazah ibu,” katanya.

Katanya ujian lima beradik itu bertimpa-timpa apabila ayahnya juga, Mohd Suhaimi Zakaria, 55, meninggal dunia pada 7 Ogos lalu, iaitu seminggu selepas pemergian ibunya kerana jangkitan Covid-19.

“Ayah pula pergi pada 7 Ogos, kematian ayah diberitahu pihak hospital, doktor ada bagi tahu adik, kakak, kata nak tidurkan ayah.

“Kami pun saudara-mara, adik-beradik semua sepakat beri kebenaran tidurkan sebab oksigen ayah jatuh sampai 75 peratus, tapi ayah bertahan dua hari setengah dan ayah terus pergi, jantung terus berhenti.

“Masa itu kami sudah bersedia, keputusan daripada Allah, Allah tentukan ajal dan maut, tapi kami dah bersedia, ayah pun setuju bila nak tidurkan dia, kami rasa lega.

“Mak dan ayah dikebumikan di Tanah Perkuburan Selat Klang, tapi Alhamdulillah kubur mereka dekat saja, tak jauh dari rumah kami,” katanya.

Intan Jewanina Mohd Suhaimi

Sementara itu, bagi kakak sulung kepada Uzair Wazini, Intan Iewanina Mohd Suhaimi, 21, dia akan menunaikan amanat ibunya yang mahu dia dan empat beradik itu menghabiskan pelajaran sebelum memikirkan soal mencari pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka.

“Saya ada lagi dua tahun nak habis belajar, saya sekarang tengah ambil ijazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, saya ada lagi baki empat semester, lagi dua tahun lagi nak habis.

“Saya akan fokus belajar saja sampai habis belajar ijazah, mak saya pun suruh kami semua adik-beradik habis belajar, memang amanat mak habiskan belajar dulu semua.

“Lepas habis belajar baru saya cari kerja semua untuk tampung adik-adik, Insya-Allah,” katanya.

Intan Iewanina tidak menafikan agak terkejut pada mula apabila kehilangan kedua ibu bapanya dan dia perlu menerima hakikat kini tanggungjawabnya lebih besar untuk menjaga dan menguruskan Batrisyia Izzah, 19; Uzair Wazini, 16; Ahmadenijad, 12, serta Nisa Ailani.

“Mula-mula saya rasa terkejut, benda semua jadi tiba-tiba, banyak urusan kena buat sebab selama ini mak ayah yang tolong uruskan.

“Sekarang saya pula kena buat, jadi macam agak kelam-kabut, tapi Insya-Allah ramai yang membantu adik-beradik, makcik-makcik, jiran semua tolong semua, Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast