PELABUHAN KLANG – Satu program khas sedang dirangka untuk membela nasib kanak-kanak di bawah 18 tahun yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, buat masa ini pihaknya sedang mengenal pasti jumlah kes kematian melibatkan ibu bapa yang meninggalkan anak-anak masih kecil yang memerlukan bantuan.
“Saya sedang mendapatkan angka daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maklumat ibu bapa yang meninggal dunia akibat Covid-19.
“Selepas dapat maklumat ini, kita akan bekerjasama dengan semua pihak, sudah ada beberapa angka pada saya cuma kita sedang perhalusi.
“Maklumat yang kita dapat daripada pemimpin-pemimpin masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), aduan yang kita terima dan sebagainya.
“Selepas itu kita dapat merangka satu program khas untuk anak-anak ini,” katanya kepada pemberita di pangsapuri Seri Perantau, hari ini.
Terdahulu beliau bersama Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyantuni lima adik-beradik yang kehilangan ibu bapa selepas dijangkiti Covid-19.
Dalam kunjungan itu, Rina memberikan sumbangan peribadi berjumlah RM250 kepada Intan Iewanina Mohd Suhaimi yang masih melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Rina juga menyerahkan sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Negara serta bantuan berjumlah RM500 kepada empat lagi adik-beradik di bawah 18 tahun yang akan bermula September ini.
“Saya agak tersentuh bila anak sulung Intan baru berusia 21 tahun masih belajar, selalu ibunya memberi duit saku kepada dia tiap-tiap bulan sebanyak RM250.
“Saya ambil peluang ini untuk sama-sama juga membantu anak-anak ini atas kapasiti peribadi agar ianya dapat diteruskan sehingga Intan ini habis belajar,” katanya.
Dalam pada itu, Rina juga sedia menawarkan tempat tinggal kepada mana-mana anak yatim piatu yang kematian ibu bapa akibat jangkitan Covid-19.
“Buat masa sekarang di institusi kita terbuka untuk menerima kehadiran mereka
“Sekurang-kurangya jangan sampai mereka ini tidak ada tempat untuk berlindung dan sebagainya.
“Kalau mereka ini mungkin tiada keluarga, saudara mara, ibu bapa pun tak ada, mereka boleh ditempatkan di institusi kita, tiada masalah
“Sekurang-kurangya kita nak jaga nasib anak-anak ini,” katanya.
Rina turut menasihatkan anak-anak di bawah umur yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 untuk segera menghubungi KPWKM untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Apabila ibu bapa mereka ini meninggal dunia akibat Covid-19, pertama, ingatlah telefon sahaja 1599.
“Ada juga kes yang saya lihat sebelum meninggal dunia itu ibu bapa kata anak itu boleh dihantar ke JKM tapi ada keluarga nak jaga mereka sendiri.
“Sekiranya berlaku perkara ini, hubungi pihak kami talian Kasih 1599, kita ada 108 pejabat di seluruh negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette