Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (kanan) menyantuni anak-anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 di Pangsapuri Seri Perantau, Port Klang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OGOS 2021.

PELABUHAN KLANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia memberikan bantuan sokongan emosi dan kaunseling kepada anak-anak penyanyi terkenal, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya akan menawarkan khidmat kaunselor bagi membantu anak-anak pasangan selebriti itu yang masih terkejut dengan kehilangan ibunya akibat jangkitan Covid-19, semalam.

“Kita tahu tentang kehilangan arwah Siti Sarah Raissuddin, semalam. Arwah juga meninggalkan empat anak yang masih kecil.

“Insya-Allah kita pun akan memberi sokongan kepada anak-anak ini, bukan sekadar kewangan, bahkan mungkin memerlukan sokongan dari segi emosi, bukan dewasa sahaja bahkan kanak-kanak.

“Mereka ini mungkin agak terkejut, dengan kehilangan ibu dan kita perlu memberi semangat dan dorongan untuk terus melangkah ke arah kehidupan yang lebih baik

“Saya ucapkan takziah kepada Shuib dan ahli keluarga arwah,” katanya kepada pemberita di pangsapuri Seri Perantau, hari ini.

Allahyarhamah Siti Sarah, 36, yang bertarung nyawa sejak Rabu lalu akibat jangkitan COVID-19 meninggal dunia awal pagi semalam.

Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur.

Siti Sarah pada Jumaat selamat melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak keempat pasangan itu ketika menerima rawatan.

Allahyarhamah Siti Sarah dan Shuib sekeluarga positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut.

Siti Sarah dimasukkan ke ICU selepas tahap oksigen semakin tidak stabil.

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun. – MalaysiaGazette