Najib Razak

KUALA LUMPUR – Laporan jumlah nilai penjualan sektor pembuatan pada bulan Jun 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia semalam menunjukkan kebanyakan kilang di Malaysia terus operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Datuk Seri Najib Razak berkata, buktinya jumlah nilai penjualan sektor pembuatan pada bulan itu menyaksikan kenaikan 6.5% kepada RM124.4 bilion, naik 1.2% berbanding bulan Mei 2021.

Malah, penjualan semua sub-sektor pembuatan naik, begitu juga jumlah pekerja bertambah 1.2% kepada 2,188,142 orang pada Jun 2020.

Sedangkan, menurut beliau, bulan Jun 2021 adalah bulan total lockdown.

”Jadi, bagaimana pula penjualan dan jumlah pekerja bagi keseluruhan sektor pembuatan boleh naik pada bulan Jun 2021 yang kononnya telah lockdown berbanding bulan Jun 2020 yang tiada lockdown?,” katanya.

Ketika sektor pembuatan menyaksikan peningkatan nilai penjualan, beliau mempersoalkan adakah prestasi sama turut ditunjukkan oleh sektor-sektor seperti sektor runcit, shopping mall, sektor pelancongan, sektor hiburan, sektor pasar malam, sektor tuisyen, pemandu, pengusaha kantin, pengusaha tuisyen, pemandu Grab, sektor sukan, sektor perkahwinan, sektor konvensyen dan hampir semua sektor lain.

“Penjualan jatuh ke hampir sifar sebab dalam total lockdown,” tegas beliau.

Soal Najib, jadi, kenapa hampir kesemua sektor ekonomi lain perlu berkorban supaya sektor pembuatan boleh terus berkembang.

Beliau turut mempersoalkan kenapa kerajaan menghukum dan mengorbankan sektor-sektor lain yang mempunyai pekerja bilangan paling besar sedangkan sektor pembuatan yang mampu bertahan walaupun sebulan PPK dilaksanakan terus mengaut keuntungan sepanjang PKP penuh.

”Dan apa gunanya total lockdown apabila lebih 2 juta pekerja sektor pembuatan perlu terus bekerja sepanjang tempoh?,” tanya beliau sambil mempersoalkan mengapa bukan semua berkorban bersama-sama agar PKP tidak diheret berpanjangan sehingga tiga bulan sehingga hari ini.

Soal beliau lagi: “Kamu tahu tak berapa ribu nyawa manusia telah terkorban dan berapa puluh juta rakyat biasa perlu menderita untuk menjayakan prestasi baik sektor pembuatan ini?

”Sebab itulah Malaysia terjatuh ke keadaan paling parah terkesan Covid dalam dunia hari ini.

”Syabas sektor perkilangan dan syabas pada kerajaan PN atas prestasi baik sektor pembuatan!,” kata Najib. – MalaysiaGazette