Suasana sekitar kediaman Perdana Menteri lengang tanpa pergerakan keluar masuk kenderaan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 OGOS 2021.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadakan mesyuarat khas bersama pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dari Sabah dan Sarawak, kira-kira 5 petang ini di Putrajaya.
Perkara itu hangat diperkatakan selepas satu mesej tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam mengatakan ketua-ketua parti dari kepulauan Borneo itu akan turun ke ibu negara bagi mengadakan pertemuan secara fizikal bersama Perdana Menteri.
Susulan perkembangan itu, petugas media kelihatan mula berkampung di kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara sejak jam 8 pagi tadi bagi mencari kepastian sejauh mana pertemuan itu benar-benar berlaku, hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati suasana di luar pekarangan kediaman Perdana Menteri masih lengang tanpa kehadiran mana-mana pihak, khususnya pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
MalaysiaGazette dimaklumkan Perdana Menteri meninggalkan kediaman kira-kira 7.45 pagi dan dipercayai menuju ke Putrajaya bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet setiap Rabu.
Sumber juga memberitahu perjumpaan dengan ketua-ketua parti dari Sabah dan Sarawak itu tidak berlaku di kediaman Muhyiddin, sebaliknya akan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast