Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mendakwa siasatan polis berkaitan ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu bermotifkan politik dan membuang masa.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan pihak polis sepatutnya memanfaatkan masa untuk menjaga keamanan rakyat berbanding menjalankan siasatan berhubung perhimpunan tersebut.

Jelas beliau, tindakan menerusi siasatan juga dilihat memberi tekanan terhadap mereka sebagai ahli Parlimen pembangkang dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Di sini timbul persoalan kenapa polis nak halang kami masuk pejabat sedangkan satu usul telah diluluskan dalam Dewan tahun lepas yang memerintahkan Ketua Polis Negara (KPN) perlu memastikan semua ahli Parlimen masuk bangunan itu tanpa sebarang halangan.

Lim Guan Eng.

“Kami rasa dihina sebagai ahli Parlimen apabila dipanggil untuk memberikan keterangan sedangkan kami mahu masuk pejabat masing-masing di dalam bangunan Parlimen itu bagi menjalankan tugas.

“Siasatan ini juga dilihat bermotifkan politik dalam suasana sekarang dan tekanan yang diberikan ini mungkin juga untuk mempengaruhi kami bagi membuat sesuatu tetapi ia tidak akan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini hari ini.

Terdahulu, Guan Eng tiba kira-kira jam 1 tengah hari di IPDTL ditemani peguamnya, RSN Rayer.

Mengulas lanjut, Guan Eng menegaskan, polis perlu memberi penjelasan mengapa ahli Parlimen dihalang masuk pada hari kejadian.

“Ini merupakan kali pertama ahli Parlimen dihalang oleh pihak Pasukan Simpanan Persekutuaan (FRU) dengan membuat sekatan daripada memasuki bangunan Parlimen itu.

“Sidang ini masih belum ditangguhkan secara rasmi maka semua usul yang dipersetujui pada tahun lalu masih berkuat kuasa jadi polis perlu menjawab persoalan mengapa kami dihalang masuk,” ujar Guan Eng.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan pihaknya telah merakamkan keterangan Guan Eng.

“Kira-kira 45 minit kita rekodkan keterangan beliau,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu bermotifkan politik dan membuang masa.

Comments are closed.