Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perjumpaan mahupun mesyuarat tergempar antara pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, pada malam ini.

Ini kerana Muhyiddin telah mempengerusikan mesyuarat khas bersama ketua-ketua PN dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kira-kira dua jam di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, petang tadi.

Mesyuarat khas yang bermula jam 5 petang itu dihadiri Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Terdahulu, Muhyiddin yang menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam meninggalkan kediamannya hari jam 7.50 pagi tadi.

Bagaimanapun selepas 12 jam di Putrajaya, Muhyiddin kelihatan bergegas pulang ke kediaman di Bukit Damasara dengan diiringi kenderaan polis pengiring kira-kira jam 7.50 malam tadi.

MalaysiaGazette difahamkan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai juga turut hadir dalam mesyuarat khas itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu mempengarusikan mesyuarat khas petang tadi dipercayai bagi memeterai konsensus untuk mengekalkan sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini, Muhyiddin dalam perutusan khasnya memberi jaminan beliau akan membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri dengan membawa usul percaya terhadap dirinya dalam sidang Parlimen, 6 September ini.

Ia susulan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu yang sebulat suara menarik sokongan daripada Kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast