Roslee Ali yang mesra disapa dengan panggilan Acik menggali liang lahad khas jenazah Covid-19 tanpa lelah dan terus komited dengan kerjanya itu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – ‘Penghargaan yang saya terima ini bukan untuk diri saya sendiri tetapi untuk semua yang terlibat dalam menguruskan jenazah Covid-19’.

Itu luahan penggali kubur, Roslee Ali, 63, setelah dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Frontliner pada sambutan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H, hari ini.

Roslee yang berkhidmat secara sukarela di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh sejak 10 tahun lalu itu berkata, dia tidak menyangka akan menerima penghargaan sedemikian dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Perasaan itu biasa sahaja cuma tak sangka saya sebagai penggali kubur dapat penghargaan sebegini.

“Kalau saya seorang memang tak mampu hendak kebumikan semua jenazah Covid-19 tetapi ini untuk semua yang terlibat membantu saya. Ini adalah kejayaan bersama dengan rakan setugas yang lain, saya anggap diri ini sebagai wakil penerima sahaja,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Artikel berkaitan: Tugas mulia Rosli bantu kebumikan pesakit Covid-19

Dalam masa sama, Roslee turut meminta agar semua pihak di luar sana mendoakan kesejahteraan dan kesihatan dirinya.

“Minta doakan agar saya terus sihat untuk berkhidmat.

“Terima kasih juga kepada pihak JAWI kerana mencalonkan nama saya,” ujarnya.

Terdahulu menerusi satu kenyataan, JAWI memaklumkan kategori anugerah berkenaan adalah pertama kali diperkenalkan pada sambutan Ma’al Hijrah.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Labuan, Dr Ismuni Bohari dianugerahkan Tokoh Frontliner 1 manakala Roslee penerima Anugerah Frontliner 2.

MalaysiaGazette sebelum ini pernah menyiarkan kisah Roslee atau lebih mesra disapa Acik yang masih gagah berkhidmat sebagai penggali kubur pada usia emas.

Bersama-sama petugas barisan hadapan, Roslee bermandi keringat memastikan pengebumian jenazah termasuk pesakit Covid-19 disempurnakan dalam apa sekalipun situasinya. – MalaysiaGazette