Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjalan keluar dari mahkamah selepas perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low pernah hadir mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) sekitar September 2009.

Mesyuarat tersebut didakwa juga telah dihadiri oleh bekas Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Azlan Mohd Zainil, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Itu kata saksi pendakwaan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan di sini hari ini.

Saksi kelapan itu, Kelvin Tan merupakan bekas Pengarah Strategi Korporat 1MDB ketika itu dan yang bertanggungjawab mengambil minit mesyuarat ketika itu.

Bagaimanapun kata Kelvin, kehadiran Jho Low hanya direkodkan sebagai ‘jemputan’ dan tidak memiliki apa-apa jawatan rasmi yang membolehkan beliau hadir mesyuarat pada hari itu.

Saksi juga menafikan tentang kewujudan satu lagi salinan minit mesyuarat pada 26 September 2009 yang tidak mencatatkan nama Jho Low.

“Saya memang tidak tahu bagaimana minit dipinda dengan tidak masukkan nama Jho Low. Sebaliknya saya hanya ditunjukkan salinan ini oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Hafidz Othman ketika merakamkan kenyataan saya selepas itu,” katanya hari ini.

Kelvin juga mendedahkan bagaimana Lodin mempersoalkan peranan Jho Low kepadanya namun ahli perniagaan itu membalas dengan memberitahu dirinya terlibat dalam lembaga penasihat syarikat.

“Kami ambil maklum dan tidak bertanya apa-apa,” katanya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2021

Dalam pada itu, Kelvin juga mendedahkan Jho Low ada menerima panggilan telefon dari Najib ketika mesyuarat ahli lembaga pengarah itu.

Kata Kelvin, Jho Low kemudian menyerahkan telefon bimbit itu kepada Pengerusi 1MDB ketika itu, Mohd Bakke Salleh.

Bagaimanapun ketika soal balas oleh peguam utama mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanya adakah Jho Low telah memberitahu apa-apa dalam mesyuarat itu.

Muhammad Shafee: Jika tidak kata apa-apa mengapa pula Jho Low mahu hadir mesyuarat itu?

Kelvin: Saya ingat masa Jho Low serah telefon bimbitnya kepada Mohd Bakke. Beliau kemudian kelihatan seperti terkejut apabila panggilan itu daripada Perdana Menteri.

Muhammad Shafee: Ada Jho Low kata apa-apa dalam mesyuarat?

Kelvin: Saya tidak ingat apa-apa yang dikatakan oleh Jho Low ketika dalam mesyuarat itu.

Perbicaraan bersambung dengan saksi seterusnya yang merupakan bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan, Tan Sri Mazidah Abdul Majid.

Tujuh saksi pendakwaan termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu setakat ini.

Pihak pendakwaan dijadualkan memanggil seramai 11 saksi lagi pada perbicaraan kali ini termasuklah Kelvin dan Mazidah.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette