Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2020 (SPM) menjawab soalan peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dalam pembudayaan norma baharu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Setiabudi. Gombak, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

PANDEMIK Covid-19 telah melanda negara sejak awal tahun 2020. Pandemik
berkenaan telah memberi kesan yang besar kepada sistem pendidikan Malaysia.
Sekolah-sekolah telah ditutup bagi tempoh yang panjang. Menurut laman
pemantauan UNESCO, Malaysia tergolong di kalangan sekumpulan negara yang
paling lama menutup sekolah.

Walaupun secara rasminya pengajaran dan pembelajaran dari rumah tetap berjalan
dalam tempoh penutupan sekolah, keberkesannya sangat minimum. Di samping
masalah ketiadaan gajet dan talian Internet, ramai murid tidak mempunyai suasana
pembelajaran yang kondusif di rumah.

Tidak semua murid mempunyai kemewahan bilik belajar, hatta ruang atau meja
belajar sendiri. Tidak hairanlah jika kajian menunjukkan secara purata 80 peratus
murid sahaja yang hadir dalam PdPR, itu pun dalam kadar keberkesanan yang
berbeza.

Akibatnya, kini terhasil generasi yang tersisih daripada menjalani pendidikan formal.
Mereka kehilangan peluang belajar yang sempurna. Sebahagian langsung tidak
menjalani apa-apa pembelajaran dalam tempoh pandemik ini. UNESCO menamakan mereka sebagai ‘the lost generation’, generasi yang hilang.

Kajian yang dilakukan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) terhadap keluarga miskin bandar di Lembah Klang mendapati jumlah pelajar yang kembali ke sekolah menurun ketika ia dibuka semula pada Julai tahun lalu.

Tinjauan itu mendapati hampir satu perlima pelajar daripada 500 keluarga hilang
minat untuk bersekolah semula sejak tempoh perintah kawalan pergerakan
dikuatkuasakan, dengan tujuh peratus pelajar sekolah menengah memilih untuk
tidak kembali ke sekolah.

Jumlah ini dijangka tentunya lebih meningkat pada tahun ini selepas lebih 500 hari
tempoh di rumah. Fenomena ini akan memberi kesan jangka panjang kepada pembinaan intelektual, jasmani, rohani dan emosi murid, sekali gus merencatkan pembangunan sahsiah, jati diri dan kesediaan mereka menghadapi masa depan.

Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengumumkan pembukaan sekolah untuk pembelajaran bersemuka secara berperingkat mulai 1 September 2021, bermula dengan kelas peperiksaan SPM. Setakat ini, pengumuman ini tidak diiringi dengan apa-apa polisi, rancangan atau garis panduan untuk memastikan bukan sahaja institusi pendidikan boleh dibuka dengan selamat, tetapi juga memberi gambaran bagaimana pendidikan generasi tersisih yang hilang ini boleh dibangunkan semula secara menyeluruh.

Dengan beberapa minggu berbaki untuk memasuki bulan September 2021, KPM belum membuat apa-apa sesi libat urus bersama pihak sekolah, ibu bapa dan pemegang taruh yang lain. Ini menimbulkan kegusaran kerana hampir semua tindakan dan keputusan KPM sebelum ini bersifat spontan atau ‘reactionary’, tanpa didasari perancangan menyeluruh dengan kaedah serta kriteria yang jelas. Kali ini juga KPM tidak menunjukkan perancangan terperinci dengan pelan-pelan alternatif sekiranya pandemik ini berterusan.

Jika diteliti, kini telah terdapat banyak garis panduan dan rancangan pembangunan semula pendidikan pasca-COVID-19 yang diterbitkan oleh organisasi antarabangsa
seperti UNESCO, UNICEF, WHO, World Bank dan lain-lain. Banyak rancangan dan garis panduan ini bersifat terperinci menggariskan tindakan-tindakan yang perlu diambil di peringkat kerajaan pusat, pengurusan pendidikan di lokaliti dan sekolah.

Alternatif dan kriteria telah diberikan dengan jelas untuk menghadapi pelbagai
kemungkinan, semuanya dalam rangka memastikan pendidikan tetap berjalan dalam
apa jua keadaan. Cara-cara membuat pemulihan pendidikan juga dibutirkan dengan jelas. Kita hanya perlu mengambil dokumen-dokumen ini dan menyesuaikan dengan keadaan negara kita.

Oleh itu, adalah disarankan KPM menyediakan rancangan dan polisi yang jelas mengenai pembangunan semula pendidikan Malaysia. Rancangan dan polisi berkenaan bukan sekadar mengenai pembukaan semula institusi pendidikan tetapi juga melibatkan rancangan jangka panjang dan pendek bagi membangunkan semula pendidikan Malaysia.

Rancangan-rancangan alternatif diperlukan untuk jangka pendek bagi pembukaan
September 2021 dan rancangan alternatif jangka panjang bagi kelangsungan pendidikan dan industri pendidikan untuk tahun 2022 dan seterusnya. Pelan tindakan ini juga tidak boleh lagi bersifat ‘blanket’ atau ‘one size fits all’ tanpa mengambil kira kepelbagaian jenis sekolah, lokasi, saiz sekolah dan tahap jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan.

Rancangan dan polisi berkenaan perlu mengambil kira kepelbagaian yang wujud serta kemungkinan Covid-19 akan menjadi endemik di dalam negara. Semoga rancangan dan polisi sedemikian dapat merealisasikan hasrat untuk memberi keutamaan kepada pembinaan semula sistem pendidikan negara.

Oleh: Zaliza Alias
Pengasas Gains Education Group &

Profesor Dr Omar Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast