KUALA LUMPUR – Pergerakan Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Pulau Pinang kecewa dengan kegagalan kerajaan menangani masalah program vaksinasi secara ‘walk-in’.
Kejadian kesesakan melibatkan warga asing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Rumah Prihatin di ibu kota, petang semalam, telah menakutkan seluruh rakyat dengan penularan wabak Covid-19 dari varian Delta.
Ketuanya, Siti Fatimah Mohd Shariff berkata, Wiranita menghargai usaha kerajaan memudahkan rakyat mendapat suntikan vaksin, tetapi kalau peluang itu direbut oleh pendatang asing, ia tidak memberi apa-apa makna.
Sepatutnya, kata beliau, kerajaan membuat persiapan rapi dengan mengutamakan penduduk tempatan terlebih dahulu atau menyediakan lokasi tertentu untuk warga asing menerima suntikan.
“Apabila kerajaan membuka peluang ‘walk-in’, ia direbut oleh warga asing yang datang beramai-ramai tanpa menghiraukan pematuhan SOP.
“Mereka beratur sambil berpeluk dan bersorak gembira kerana dapat suntikan vaksin. Perbuatan ini menakutkan warganegara ketika penularan wabak Covid-19 semakin meningkat ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, seorang netizen terkejut melihat video keadaan di PPV Rumah Prihatin Hotel Grand Seasons dan PPV Bukit Jalil yang penuh berpusu-pusu di kalangan warga asing sehingga mengabaikan SOP.
Keadaan itu kemudian berjaya ditenangkan oleh anggota polis yang bergegas ke tempat berkenaan selepas menerima aduan.
Menurut Siti Fatimah yang juga Exco Putra Malaysia, lebih mendukacitakan apabila warganegara asing itu tidak menghormati peraturan ketika berada di negara ini, lebih lagi sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
“Kalau macam ini keadaannya, tidak ada tatatertib, tidak mengikut peraturan, lebih baik jangan adakan program vaksinasi secara walk-in. Kerajaan kena fikirkan kaedah lain bagi menyelamatkan negara ini dari peningkatan kes positif dan kematian.
“Pada masa sama, kita mengucapkan tahniah kepada seorang individu yang mengambil tanggungjawab memastikan warga asing mematuhi SOP,” katanya.
Beliau menyarankan kerajaan menggunakan kedutaan warga asing masing-masing untuk menguruskan vaksinasi di kalangan rakyat mereka. – MalaysiaGazette