Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil bercakap kepada media selepas memberi keterangan berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menafikan dakwaan yang viral hari ini bahawa dua wakilnya, R Sivarasa dan Maria Chin Abdullah akan melompat parti dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Fahmi berkata, dakwaan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua akan turut serta menyokong PN juga tidak benar.

“Tidak benar, palsu (dakwaan Tony Pua, R Sivarasa dan Maria Chin akan sokong PN),” katanya kepada MalaysiaGazette.

Awal hari ini tular dakwaan bahawa R. Sivarasa, Maria Chin dan Tony Pua akan membuat kenyataan bahawa mereka menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Laporan berjudul ‘Siapa 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Lompat Sokong Perikatan Nasional? itu tular hari ini dengan menyatakan PN memperolehi tiga lagi sokongan Ahli Parlimen PH.

Menurut laporan itu, rundingan tiga Ahli Parlimen PH itu untuk menyokong PN didakwan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Laporan itu juga mendakwa bahawa ketiga-tiga mereka akan dibayar RM15 juta bagi mendapatkan sokongan mereka. – MalaysiaGazette