KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menyempurnakan projek untuk mengagihkan bekalan air terawat kepada 280 pengguna daripada dua perkampungan Orang Asli di Bukit Lagong, Gombak dan Bukit Kechil, Kuala Langat.

Projek ini telah bermula pada 9 November 2020 dan siap sepenuhnya pada 9 Mac 2021 dengan objektif untuk meningkatkan liputan bekalan air terawat kepada dua kampung orang asli tersebut yang sebelum ini hanya mendapatkan bekalan air daripada sumber semula jadi.

Ini juga selari dengan aspirasi Air Selangor dalam mendukung salah satu Matlamat Pembangunan Mampan atau ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Matlamat Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6).

Menerusi projek ini, Air Selangor telah melaksanakan pemasangan sistem perpaipan di kawasan yang terlibat untuk menyalurkan bekalan air daripada sumber air terawat yang berdekatan.

Inisiatif ini juga bertujuan untuk memastikan para penduduk di kedua-dua perkampungan ini mempunyai bekalan air alternatif untuk digunakan ketika musim kemarau.

Projek ini juga merupakan sebahagian daripada Program “Extension of Supply – Towards 100% Supply Coverage”, yang memberi tumpuan khusus dalam menyediakan infrastruktur perpaipan ke kawasan-kawasan yang memerlukan.

Ini merupakan komitmen berterusan Air Selangor di bawah Pelan Perniagaan 30 tahunnya dalam memastikan bekalan air yang bersih, selamat dan lestari untuk semua pengguna.

Menerusi program ini juga, beberapa kawasan penting telah dikenal pasti dan pelaksanaan pemasangan sistem perpaipan dan meter air akan dilaksanakan mengikut perancangan yang telah dijadualkan. – MalaysiaGazette