Wakil LZS menyerahkan sumbangan kepada Mohd Nazri Mustaffa di rumahnya di Klang, Selangor - Foto Facebook LZS

KUALA LUMPUR – Bekas pemain snuker kebangsaan yang berdepan masalah kewangan susulan pandemik Covid-19 mendapat perhatian pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mohd Nazri Mustaffa atau lebih dikenali Kechik Kuantan mendapat bantuan awal berupa sumbangan barangan makanan daripada agensi itu.

Bantuan lain seperti kewangan dan makanan bulanan akan diterima selepas ini.

“Terima kasih kepada pengeluar zakat kerana bayaran anda memanfaatkan mereka yang memerlukan,” kata LZS menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Mohd Sabirin Mohd Sarbini menziarahi kediaman Mohd Nazri di Klang.

LZS berkata Mohd Nazri ,35, terpaksa menutup akademi snukernya selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.

“Aset rumah dan kereta terpaksa digadaikan demi meneruskan kelangsungan hidup bersama dua anak berusia tiga dan lima tahun.

“Pelbagai usaha dilakukannya untuk meneruskan kelangsungan hidup dikala pandemik ini…namun semua berakhir dengan kegagalan. Kini, ehsan rakan menjadi pautan beliau untuk meneruskan kelangsungan hidup,” kata LZS lagi. – MalaysiaGazette