Cuti membabitkan semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibekukan berkuatkuasa semalam sehingga diberitahu kelak.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Cuti membabitkan semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibekukan berkuatkuasa semalam sehingga diberitahu kelak.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, pembekuan cuti itu bagi memastikan setiap penguat kuasa bersiap-siaga untuk digerakkan bagi operasi kawalan dan pemantauan pada bila-bila masa.

“Ya, saya sahkan bahawa semua penguat kuasa polis dibekukan cuti mereka. Tujuannya bagi melancarkan dan memudahkan sistem penugasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, satu surat pekeliling bertarikh 12 Ogos 2021 tular di media sosial semalam memetik Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengeluarkan arahan cuti dalam negeri, luar negara serta pergerakan luar daerah bagi semua pegawai kanan serta rendah polis dibekukan berkuat kuasa mengikut tarikh surat itu dikeluarkan.

Ia mungkin ada kaitan dengan keperluan ekoran penularan pandemik Covid-19 dan keadaan situasi politik semasa yang tidak menentu.- MalaysiaGazette