Gabenor BNM
Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1% pada suku kedua tahun ini berbanding -0.5% pada suku pertama.

Prestasi ekonomi disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.

Pertumbuhan yang kukuh ini juga mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua tahun 2020.

Kegiatan ekonomi meningkat pada awal suku kedua namun kemudiannya menurun berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh Fasa 1.

Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan. Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi dan aktiviti perdagangan yang kukuh.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.0% (S1 2021: 2.7%) yang terjejas akibat langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat.

Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, meskipun langkah-langkah pembendungan telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah-langkah tersebut.

Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.1% pada suku kedua (S1 2021: 0.5%), disebabkan terutamanya oleh kesan asas daripada harga bahan api serta luputnya kesan daripada rebat tarif elektrik bertingkat. Inflasi teras terus stabil pada 0.7% pada suku kedua tahun 2021
(S1 2021: 0.7%).

Dalam pada itu, ringgit menambah nilai sebanyak 0.1% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua tahun 2021.

Penambahan nilai ini sebahagian besarnya disebabkan oleh nilai dolar AS yang semakin lemah pada awal suku kedua berikutan penurunan kadar hasil bon Perbendaharaan AS benar yang menyebabkan pelabur beralih kepada aset yang memberikan kadar hasil yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, jangkaan terhadap dasar monetari kembali ke paras yang wajar pada kadar yang lebih cepat berikutan mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) pada bulan Jun, telah menyebabkan pelabur mengimbangi semula portfolio mereka kepada aset dalam denominasi dolar AS pada akhir suku kedua.

Sejak 1 Julai, ringgit menyusut nilai sebanyak 1.7% berbanding dengan dolar AS (setakat 9 Ogos).

Penyusutan ini sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang serantau lain berikutan dolar AS yang secara keseluruhan bertambah kukuh.

Memandangkan keadaan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu, ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh volatiliti yang ketara.

Pembiayaan bersih kepada sektor swasta pula mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.4%1 pada suku kedua (S1 2021: 4.7%).

Pertumbuhan pinjaman terkumpul menjadi sederhana kepada 3.6% manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul2 meningkat kepada 6.9%.

Pinjaman perniagaan terkumpul mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 1.3% berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pinjaman berkaitan pelaburan.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan modal kerja terkumpul meningkat pada suku tersebut.

Bagi isi rumah, permintaan terhadap pinjaman terus menggalakkan terutamanya bagi pembelian harta tanah kediaman.

Walaupun prospek pertumbuhan jangka pendek telah terjejas akibat penularan semula kes COVID-19 baru-baru ini, ekonomi Malaysia kekal pada landasan pemulihan.

Bank Negara Malaysia berkata, ekonomi Malaysia kekal pada landasan pemulihan pada tahun 2021 meskipun penularan kes COVID-19 dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara dijangka menjejaskan pertumbuhan, kesannya akan dikurangkan oleh beberapa faktor.

Faktor-faktor ini termasuk kebenaran yang terus diberikan kepada sektor ekonomi perlu untuk beroperasi, kemampuan yang lebih tinggi untuk menyesuaikan diri bekerja dari rumah serta bertambahnya penggunaan automasi dan pendigitalan.

Pertumbuhan akan terus disokong oleh langkah-langkah dasar yang akan memberikan sokongan aliran tunai khususnya kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas.

Pada masa hadapan, trajektori pertumbuhan akan bergantung pada keupayaan membendung epidemik ini dan hasil kesihatan yang dicapai berikutan program pemberian vaksin di seluruh negara.

Hal ini akan membolehkan sektor ekonomi dibuka semula secara beransur-ansur serta meningkatkan sentimen isi rumah dan perniagaan.

Oleh itu, semasa membuat unjuran julat pertumbuhan yang disemak semula bagi tahun 2021, Bank Negara Malaysia mengambil kira perkembangan ekonomi global yang terkini, pelaksanaan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara serta andaian mengenai peralihan berperingkat ke fasa kedua, ketiga dan keempat bagi setiap negeri berdasarkan kadar pemberian vaksin dan kapasiti sistem penjagaan kesihatan.

Berlatarkan keadaan ini, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 3.0% hingga 4.0% pada tahun 2021.

Unjuran pertumbuhan yang baharu ini adalah lebih rendah berbanding dengan julat pertumbuhan yang diumumkan sebelum ini4, sebahagian besarnya disebabkan oleh pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, jangkaan pembukaan semula ekonomi akan membantu menyokong pemulihan secara beransur-ansur menjelang akhir suku keempat tahun ini dengan pertumbuhan global yang lebih tinggi dan sokongan dasar yang berterusan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan ekonomi.
Pemulihan dijangka terus pesat pada tahun 2022, disokong oleh kegiatan ekonomi yang beransur-ansur kembali normal serta limpahan kesan positif daripada permintaan luaran yang terus meningkat.

Ketika memberikan penekanan pada program imunisasi kebangsaan, Nor Shamsiah menjelaskan, secara umumnya, pemulihan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka bermula semula pada penghujung separuh kedua tahun 2021 dan bertambah baik pada tahun 2022.

Kemajuan yang berterusan dan keberkesanan program pemberian vaksin akan menjadi pemangkin utama kepada pembukaan semula ekonomi dan menjadi pendorong kepada sentimen yang positif, sekali gus akan mengurangkan tekanan ke atas kapasiti sistem penjagaan kesihatan dan membolehkan langkah-langkah pembendungan dilonggarkan.

Selain itu, pertumbuhan akan terus disokong oleh peningkatan pengeluaran komoditi, wujudnya sedikit permintaan terpendam (pent-up demand) dan pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur berskala besar berikutan penamatan sekatan.

Pada tempoh terdekat, inflasi keseluruhan diunjurkan sederhana apabila luputnya kesan asas harga bahan api.

Bagi tahun 2021, purata inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 2.0% hingga 3.0%.

Inflasi asas, yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast