Foto: PDRM

KUANTAN – Seorang pekerja Alam Flora maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di bawah trailer di Jalan Permatang Badak, Kuantan dalam kejadian lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam kemalangan tersebut, kedua-dua penunggang motosikal dan pemandu treler tidak memiliki lesen memandu.

Dalam insiden 11.10 malam tadi, mangsa berusia 17 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius di bahagian kepala, katanya.

“Kejadian kemalangan jalan raya melibatkan sebuah treler dan sebuah motosikal di Jalan Permatang Badak berhampiran Kedai Buah Pok Dok.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu berusia 29 tahun dan penunggang dari arah Jalan Kuantan Bypass hendak menghala ke Sungai Isap.

“Setibanya di lokasi kejadian ketika pemandu treler sedang bergerak lurus dan dengan tiba-tiba sebuah motosikal telah terbabas ketika melalui jalan dalam pembaikan di sebelah kiri dan terjatuh di bawah yang berada di sebelah kanan laluan.

Menurut saksi di lokasi kejadian, mangsa telah melalui jalan yang ditutup di sebelah kiri laluan yang dalam pembaikan dan terbabas di atas laluan yang dibuka di sebelah kanan.

Dalam pada itu Mohamad Noor mengingatkan supaya majikan memastikan pekerja mempunyai dokumen lengkap dan lesen bagi memenuhi keperluan mengikut undang-undang.

“Usaha mengesan majikan pemandu lori juga sedang dilaksanakan untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian penunggang yang gagal mengawal kenderaan ketika menunggang dan tidak mengikut tanda lalu lintas di kawasan jalan dalam pembaikan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. – MalaysiaGazette