KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada lagi pilihan, selain daripada meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, beliau juga tidak lagi mempunyai kuasa untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan untuk membubarkan Parlimen kerana bukan lagi Perdana Menteri yang sah.
Katanya, jika Muhyiddin tetap berdegil dan mahu juga menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, baginda boleh untuk tidak mempersetujuinya di bawah Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan.
“Amanah menyelar tindakan Muhyiddin tanpa segan silu membuat tawaran dengan tujuan memujuk Ahli Parlimen pembangkang untuk memberikan undi percaya kepadanya semasa sidang Parlimen nanti.
“Kita lihat tawaran ini bersifat tidak ikhlas dan terdesak untuk memastikan beliau terus berkuasa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Dalam perutusan khas petang semalam, Muhyiddin mencadangkan tujuh tawaran kepada pembangkang untuk memperoleh sokongan terhadap keabsahannya selaku Perdana Menteri.
Ia termasuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU15) selewat-lewatnya Julai tahun depan, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen serta melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi.
Tawaran itu dibuat Muhyiddin bagi memperoleh sokongan untuk memenangi undi percaya terhadapnya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat 6 September ini.
Bagaimanapun, ia ditolak bulat-bulat oleh gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH).
Menurut Wan Anwar, tawaran juga termasuk peruntukan kepada pembangkang, RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan anti lompat parti, reformasi Parlimen, status menteri kanan bagi Ketua Pembangkang dan Undi 18
Kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Undang-Undang (KANUN) Amanah, tawaran itu tidak layak dibuat oleh Muhyiddin yang jelas telah mengkhianati mandat rakyat.
“Tawaran terbaik yang boleh dibuat oleh Muhyiddin yang mengaku patuh kepada undang-undang tidak lain tidak bukan meletakkan jawatan di bawah Perkara 43 (4) Perlembagaan.
Mengulas lanjut ucapan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, beliau berpandangan, tindakan itu jelas menunjukkan beliau sebenarnya telah hilang majoriti sokongan sebagai Perdana Menteri.
Ujarnya, agak melucukan apabila Muhyiddin terlalu menekankan tidak ada seorang pun mana-mana Ahli Parlimen yang kini memperolehi majoriti sokongan, sedangkan beliau sendiri sepatutnya sudah lama hilang majoriti sebagai Perdana Menteri.
“Sewajarnya beliau meletakkan jawatan serta merta sebagai memenuhi komitmen untuk mengambil langkah terhormat bagi menyelesaikan kemelut pada masa ini.
“Tidak timbul isu atau masalah kerajaan tidak stabil sekiranya beliau dan kabinet meletakkan jawatan.
“Ini kerana negara masih mempunyai barisan para birokrat penjawat awam sebagai lapisan kedua bagi mengisi vakum untuk meneruskan pentadbiran secara interim sehingga Perdana Menteri baharu dilantik dengan kadar segera,” katanya. – MalaysiaGazette