KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaafkan segala fitnah dan dakyah buruk terutama dari Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang menyerang peribadinya berhubung kemelut politik yang berlaku hari ini.
Bagaimanapun, Presiden UMNO itu berkata, kebenaran akhirnya terbukti apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa menawarkan ‘gula-gula’ kepada blok pembangkang untuk meneruskan jangka hayat perdana menterinya.
Kata beliau, kebenaran itu turut menatijahkan sebuah keinsafan kepada pihak terbabit yang agak ghairah menyerang peribadinya kerana dikatakan sebagai punca krisis pentadbiran kerajaan PN.
“Simpati juga pada J-KOM selepas bersungguh-sungguh melancarkan propaganda terhadap saya, namun saya maafkan fitnah dan dakyah anda semua. Semoga kebenaran semalam menatijahkan sebuah keinsafan.
“Mungkin apa yang berlaku ini adalah berkat kesabaran dan yakin saya akan kebesaran Tuhan apabila berdepan dengan panah-panah fitnah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Bekas timbalan perdana menteri itu menyifatkan serangan ke atasnya umpama mengata dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih.
Katanya, melempar tuduhan demi tuduhan ke atas dirinya, yang akhirnya mereka sendiri melakukan apa yang dituduh itu.
“Begitulah karma sebuah pembohongan dan penipuan. Mereka akhirnya yang menawarkan jajaran baharu bersama DAP dan mula menghalalkan apa mereka haramkan.
“Hilang terus dalil ummah dan musuh agama yang hari-hari diratib untuk menyerang saya selaku Presiden UMNO.
“Beberapa mereka mendakwa konon tidak dimaklumkan jajaran baharu, tetapi ok demi tamadun.
Ada mendakwa konon tak mahu jajaran baharu bersama DAP, tetapi terpaksa disebabkan pandemik.
“Bermacam-macam alasan cuba mereka selindungi, tetapi mahu selindung apa lagi? Rakyat tidak lagi mudah diperbodohkan. Penipuan, pembohongan dan hipokrasi tahap tertinggi,” katanya.
Mereka, katanya, mendulang air terpercik muka sendiri. – MalaysiaGazette
`